PR Perlu Sokongan 70% Melayu penting untuk ke Putrajaya

Jalan menuju ke Putrajaya dibina di atas kepercayaan dan amanah 70 peratus orang Melayu peringkat bawahan yang masih berhempas pulas untuk memenuhi keperluas asas.

Dan kepercayaan ini tidak dapat dimenangi jika Pakatan Rakyat terus
membangkitkan tentang istilah seperti 'meritokrasi' yang menakut-nakutkan orang Melayu yang masih merupakan sebahagian besar daripada 40 peratus masyarakat bawahan, kata ahli parlimen tunggal PSM, Dr Jeyakumar Devaraj (kanan).

"Dalam kawasan pilihan raya saya (di Sungai Siput) ada orang Melayu yang tidak mampu bayar bil elektrik dan ada yang tidak menyekolahkan anak kerana mereka tidak mampu membayar tambang bas.

"Anda bercakap tentang mengambil biasiswa (pelajar) Melayu, mereka bimbang. (Konsep) Malaysian Malaysia DAP menakutkan mereka," katanya dalam persidangan Sosialisme 2010 hari ini.

Tambahnya, apabila Pakatan Rakyat menyerang kuota bumiputera - sebahagian besarnya kerana ia mengkayakan segelintir orang Melayu - tetapi mereka juga turut menyerang mereka (orang Melayu) yang terpaksa berhempas pulas untuk hidup.

"Fikirlah tentang perjuangan kelas dan tangani setiap kelas secara berbeza...Banyak orang Melayu miskin yang dieksploitasi oleh
kontraktor Melayu juga," katanya

Dalam kertas kerjanya di persidangan PSM di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Jeyakumar mengatakan masyarakat
Melayu dibahagikan kepada empat kelas - 70 peratus kelas bawahan Melayu, pekerja kelas menengah, kontraktor dan kelas korporat.

Bimbang tentang isu meritokrasi

Dari keempat-empat kelas tersebut, kontraktor Melayu juga bimbang tentang cakap-cakap mengenai meritokrasi, tegas Jeyakumar yang juga ahli pengasas PSM, kerana ia boleh mengakibatkan mereka kehilangan banyak peluang untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

"Antara tahun 2005 dan 2010, projek bernilai RM1.2 bilion diberikan
kepada kontraktor bumiputera kelas F.

"Apabila (Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak) bercakap tentang ketelusan dan tender terbuka, kumpulan ini tidak senang kerana mereka mungkin terpaksa berkongsi," katanya.

Menurut Jeyakumar, rasa tidak senang kumpulan tersebutlah yang diperjuangkan oleh PERKASA yang didakwanya menjadi jurucakap kelas kontraktor Melayu.

"Untuk mendapatkan impaknya, mereka akan menggerakkan orang Melayu miskin dengan menggunakan hal-hal seperti Perkara 153 (perlembagaan persekutuan) dan Islam, dengan mengatakan ianya telah mencabar," katanya.

"Pilihan raya umum akan datang bergantung kepada sama ada Pakatan Rakyat dapat membuktikan bahawa mereka boleh dipercayai untuk meneruskan program-program bagi kemajuan (orang Melayu miskin)," katanya.


Malaysiakini

Ulasan