Nurul Izzah Bebas Membuat Keputusan Sendiri, Kata Anwar

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau mengambil pendirian berkecuali bersabit pembabitan anaknya Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat bulan depan.

Nurul sebelum ini sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR tetapi kini menimbang kemungkinan bersaing jawatan Timbalan Presiden setelah Biro Politik PKR memutuskan untuk menerima beberapa pencalonan cabang yang lewat mengemukakan pencalonan masing-masing.

Nurul dijangka mengumumkan keputusan muktamadnya esok.

Anwar berkata beliau menyerahkan kepada Nurul untuk membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan parti.

“Soal bertanding jawatan Timbalan Presiden, dia kena putuskan sendiri apa yang sebaiknya beliau boleh lakukan untuk parti. Saya mengambil keputusan untuk tidak member sokongan atau bantahan pada mana-mana calon tetapi hanya menegaskan bahawa calon mesti membawa semangat parti, mendokong hasrat parti dan menjana perubahan agenda reformasi,” kata Anwar.

Nurul menerima lebih 30 pencalonan daripada cabang untuk bersaing jawatan Naib Presiden dan beberapa pencalonan lagi untuk jawatan Timbalan Presiden.

Ibu pejabat PKR sebelum ini mengumumkan Nurul tidak layak bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti apabila hanya menerima satu pencalonan apabila tarikh untuk cabang mengemukakan pencalonan luput pada 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun Biro Politik parti semalam mengambil keputusan untuk menerima beberapa pencalonan yang lewat sehari dari cabang-cabang.

sumber : tvselangor

Ulasan