Othman Yusof: 'Polis bunuh anak saya'

PETALING JAYA - "Anak saya dibunuh oleh dua penunggang motosikal dari kiri dan kanan keretanya di bulatan Taman Billion, bukannya berbalas tembakan dengan polis," demikian dakwa Othman Yusof, bapa kepada mangsa tembakan polis pada 14 April, tahun lalu.

Othman turut mempersoalkan tindakan pihak polis yang menembak mati kedua-dua anak lelakinya walhal mereka baru sahaja disyaki terlibat dalam rompakan itu dan belum lagi disabitkan kesalahan.
"Saya tak puas hati dengan tindakan polis, mereka tembak anak saya kerana dikatakan suspek rompakan.

"Kalau suspek, adakah kita perlu bunuh? Kita tak tahu lagi bersalah atau tidak, dia sepatutnya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah, bukannya terus tembak," soalnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Dua beradik, Noor Azman Othman, 39, Aidi Noor Hafizal Othman, 23 dan seorang rakan mereka, Saufi Ahmad, 23, merupakan suspek rompakan kedai emas di Shah Alam telah ditembak mati di bulatan Taman Billion, awal pagi pada 14 April 2012.

Beliau juga kesal apabila barangan milik anaknya ketika ditembak mati polis, iaitu wang tunai RM6,000 dan telefon bimbit bernilai lebih RM2,000 didapati lesap dan tidak dipulangkan kepada waris.
Lebih malang lagi kata Othman, polis memberitahu ketika kejadian berdarah itu, anaknya didapati memiliki sepucuk pistol, dadah dan sebilah parang malah enggan memberhentikan kereta lalu ditembak polis.
"Sebab itu saya tampil hari ini bersama peguam dari PKR untuk mendapatkan keadilan, bukannya pampasan.

"Hanya dua telefon bimbit ini bernilai lebih RM200 ke atas dipulangkan kepada saya," katanya.

SinarHarian


[Klik Start Jika Nak Dengar Radio]
Eksklusif Bersama Radio CiliFM
Buat Permintaan Lagu Klik SINI

Ulasan