KUALA LUMPUR - Aspek keselamatan siber dan penguatkuasaan undang-undang
perlu dipertingkatkan lagi bagi menangani insiden kebocoran maklumat
kewangan.
Menurut Penolong Setiausaha Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Majlis Profesor Negara, Prof Madya Dr Azlina Ahmad, senario itu bukan
sahaja mengancam keselamatan pengguna, malah boleh memberi impak negatif
terhadap ekonomi negara.
"Saya rasa sudah tiba masanya pusat aduan khas untuk mereka yang
menjadi mangsa kepada masalah kebocoran maklumat peribadi diwujudkan
kerana pihak polis sahaja tidak mampu menangani masalah itu," katanya
ketika dihubungi Bernama.
Umum mengetahui agensi perbankan sentiasa berusaha memastikan tahap
keselamatan perlindungan maklumat peribadi pemegang akaun di tahap
paling optimum, namun beliau berkata, tidak bererti ia akan terselamat
daripada digodam.
"Tidak mustahil maklumat boleh dicuri kerana pihak tidak
bertangungjawab akan berusaha dengan apa cara sekali pun, mungkin juga
ada penglibatan orang dalam...takkan kita perlu tutup internet untuk
mengatasi perkara itu," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Maamor Osman berkata, berbekalkan maklumat sulit yang
diperoleh itu, pihak tidak bertanggungjawab boleh menggunakannya untuk
kegiatan penipuan dan pengubahan wang haram.
"Mereka juga akan mengganggu individu dengan panggilan atau khidmat
pesanan ringkas sekali gus boleh mengganggu emosi pengguna serta
kehidupan seharian terutamanya kepada mereka yang sering membuat urusan
perbankan," katanya.
Maamor berkata senario itu secara tidak langsung memberikan kesan
negatif terhadap negara serta gambaran tidak elok kepada pelancong luar
untuk menjalankan sebarang urusan kerana bimbang maklumat mereka mudah
dicuri.
Dalam hal ini, beliau berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi perlu
diperkuatkan serta diperluaskan penguatkuasaannya, selain individu itu
sendiri perlu lebih peka serta berhati-hati dalam menjalankan sebarang
urusan dalam talian membabitkan maklumat peribadi.
"Kadangkala pengguna itu sendiri cuai serta ambil mudah ketika
menggunakan nombor kad pengenalan atau nombor akaun bank," katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata
kejadian kebocoran maklumat perbankan individu boleh menghakis
kepercayaan pelabur dan pengguna institusi kewangan terhadap institusi
perbankan negara.
Seseorang individu meletakkan kepercayaan penuh kepada sesebuah bank
untuk menjaga maklumat kerahsiaan mereka namun jika dibongkarkan kepada
umum, ia akan memberi persepsi negatif terhadap kawalan institusi
kewangan negara sekali gus mempersoal kewibawaan dan integriti bank,
katanya.
"Kegagalan bank membendung perkara ini juga akan menjejaskan pasaran
mata wang negara dan pelabur sudah tidak berminat untuk melabur dalam
perbankan kita.
"Siapa yang berminat (melabur) jika maklumat kerahsiaan mudah
diceroboh?," kata Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN) itu yang
berpendapat ekoomi negara akan terjejas jika kejadian seumpama itu
berlanjutan.
Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan segera
terhadap pihak yang membocorkan maklumat bagi menarik semula keyakinan
pelabur asing.
Menyuarakan pendapat yang sama, pakar ekonomi Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohamad Aslam Haneef pula berkata
kerajaan perlu mengkaji semula undang-undang berkaitan jenayah siber
dengan memperuntukkan hukuman yang lebih berat.
Beliau turut menyarankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia
(SKKM) mencari mekanisme terbaik bagi mengekang pengguna menyebarkan
maklumat perbankan individu di laman sosial.
"Di negara ini tidak wajar kita nak sekat Facebook, Blog atau Twitter kerana ia digunakan sebagai medium komunikasi.
Sinar Harian..
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..