warga asing menyamar polis dicekup

 PDRM

KUALA LUMPUR - Empat lelaki, tiga warga Pakistan dan seorang Tunisia, ditahan kerana disyaki terlibat menyamar sebagai anggota polis dan menyamun warga asing di sekitar ibu kota.

Berikutan penangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 21 kes samun di mana modus operandi kumpulan itu dalam melakukan jenayah samun adalah menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad pengenalan diri sebelum membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan melarikan barang berharga.   

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Petaling Jaya dan di ibu kota minggu lepas selepas polis menerima laporan kes samun daripada seorang lelaki warga India.   

Katanya, lelaki itu menyatakan dia disamun dua lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis ketika dia bersama abang sepupunya di Lorong Haji Taib di sini, 19 Mei lepas.  

"Kedua-dua suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad pengenalan diri.   


"Mereka mendakwa hendak membuat pemeriksaan sebelum melarikan sejumlah wang tunai dari dompet mangsa, dengan menaiki sebuah Produa Myvi," kata Zainol.  

"Susulan laporan itu, polis berjaya menahan seorang suspek di Petaling Jaya pada pukul 5.45 petang pada keesokan hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.   

Zainol berkata, susulan itu polis berjaya menahan tiga lelaki warga Pakistan yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tun Tan Cheng Lok, di sini, sebelum merampas sebuah kereta jenis Perodua Alza dan pelbagai nilai matawang asing.

"Dengan ini, polis yakin menyelesaikan sebanyak 21 kes yang dilaporkan sejak tahun lepas hingga kini," katanya.   

Sasaran suspek itu adalah warga asing terutamanya warga India, Pakistan, Iran dan Iraq yang boleh berbahasa Urdu atau faham Bahasa Hindi.   

Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sinar Harian

Ulasan