JURULATIH skuad Penyu, Abdul Rahman Ibrahim mencabar
pemainnya untuk membuktikan kebangkitan sebenar mereka seandainya
berhajat mengulangi kejayaan empat tahun lalu ke pentas final.
Malam ini, Terengganu turun melayan kunjungan Lions XII dalam aksi
separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin
selepas tewas tipis 1-2 saingan pertama, Sabtu lalu.
Menurutnya, pemain harus memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang
sendiri dan akui bukan tugas mudah memandangkan Terengganu perlu meraih
kemenangan tanpa bolos untuk mara ke pentas final.
“Pemain perlu menyerap setiap tekanan yang bakal dihadapi bukan sahaja
daripada pasukan lawan malah harapan daripada penyokong setia skuad
Penyu yang dahagakan kejayaan selepas kali terakhir mereka melakukannya
pada 2011.
“Bagaimanapun saya yakin pemain kita mampu atasi perkara ini (tekanan)
kerana dalam setiap perlawanan diharungi sebelum ini pun ada tekanan dan
merasakan kemahuan pasukan untuk ke final ketika ini dapat atasi
segalanya,” katanya.
Mengulas lanjut cabaran yang bakal diharungi, Abdul Rahman berkata,
pihaknya sedar pasukan dari Singapura itu pastinya akan bermain dengan
bermati-matian untuk menjaringkan lebih banyak gol.
“Sememangnya kita akui, mereka bermain dengan garang...cepat dan pantas
serta memiliki kawalan bola hebat. Tapi, kalau kita dapat sekat mereka
dan menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol, kita mampu raih
kemenangan," katanya.
Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..