Mengenali Ikhwan selepas kemenangan Dr Morsi

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 02 Jul 2012

(Penulis dengan anak pengasas Ikwanul Muslimin, Saiful Islam)

Ramai kalangan yang terpegun dengan kemenangan mengejut calon Presiden dari Ikhwan Muslimin, Dr. Mohamed Morsi dalam pilihanraya Presiden Mesir yang berlangsung baru-baru ini, namun siapakh sebenarnya Ikhwan Muslimin?

Beliau dicalonkan bertanding di bawah parti politik yang baru ditubuh oleh Ikhwan, Freedom and Justice Party (FJP) atau ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ sebaik sahaja selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada awal tahun lepas.

Begitu juga berapa bulan lepas apabila calon-calon FJP telah memenangi lebih dari 40 peratus kerusi parlimen yang dipertandingkan serta memenangi lebih 60 peratus kerusi ‘Majlis Syura’ yang dipertandingkan bagi meneliti penggubalan perlembagaan baru Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Akan tetapi, pihak tentera SCAF telah bertindak membubarkan kedua-dua institusi ini beberapa minggu lepas setelah Mahkamah Perlembagaan Mesir mengambil keputusan membatalkan keputusan pilihanraya yang telah dijalankan itu.

Namun, ramai yang masih tidak memahami akan dasar dan liku-liku perjuangan yang telah dilalui oleh Ikhwan Muslimin ini sendiri. Ada yang menuduh ia sebagai sebuah ‘pegerakan yang radikal dan extremis, ada yang melebelkan ia sebagai ‘pertubuhan haram yang amat bahaya’ dan ada juga yang menggangap ia sebagai ‘pergerakan agama yang sesat’.

Bagi menanggapi persoalan ini, berikut adalah rumusan pandangan seorang pimpinan  Ikhwan Muslimin,  Saiful Islam Hassan al-Banna yang juga merupakan putera sulung pengasas pergerakan ini, Hassan Al-Banna sewaktu penulis sempat menziarahi beliau di kota Kairo baru-baru ini.

1.   SEJARAH AWAL IKHWAN MUSLIMIN

Nama Ikhwan Muslimin amat sinonim dengan pemimpin-pemimpin agung seperti Hassan Al Banna, Syed Qutb, Omar Telmisani,  Mehdi Akiff serta pimpinan gerakan Islam yang lain. Ia mempunyai sejarah serta pengaruh yang amat besar di Mesir serta seluruh rantau Arab.

Sejak ia mula ditubuhkan oleh Hassan Al Banna pada tahun 1927 Ikhwan telah berkembang di seluruh pelusuk dunia dengan pemikiran ‘tajdid’ atau perubahan terutamanya selepas kejatuhan kerajaan Islam Othmaniah. Pemikiran serta pengaruh yang di bawa oleh Hassan Al Banna telah menggerakkan satu cetusan kebangkitan baru di kalangan masyarakat Arab di rantau tersebut pada waktu itu.


2.   CABARAN YANG DI HADAPI

Aliran pemikiran serta pendekatan yang di bawa oleh Hassan  Al Banna telah mendapat tentangan hebat dari kalangan pemimpin-pemimpin kebanyakan negara Arab sehingga pergerakan ini telah di haramkan dari bergerak aktif di kabanyakan negara. Malah Ikhwan Muslimin telah di tuduh sebagai sebuah pertubuhan ‘bahaya’ yang mahu merampas kuasa secara kekerasan dan membawa pendekatan yang militan.

Ramai pimpinan mereka yang di bunuh dengan kejam termasuk pengasasnya Hasan Al Banna. Sebahagian yang lain pula dikenakan hukuman penjara di serata negara  Arab pada waktu itu. Walaupun mereka di uji dengan cabaran yang besar ini, pengaruh Ikhwan Muslimin tetap berkembang sehingga sekarang ke seluruh pelusuk dunia.

3.   IKHWAN DAN DEMOKRASI

Kini Ikhwan Muslimin dipimpin oleh Dr. Mohamed Al-Badie’ (gambar) yang merupakan seorang tokoh gerakan Islam yang tidak asing lagi di benua Arab dan dunia Islam. Di bawah pimpinan beliau, Ikhwan telah mengambil pendekatan politik yang bersifat ‘engagement’ atau berdailog dan bergerak aktif secara terbuka dalam kancah demokrasi di serata dunia Islam.

Pendekatan terbuka dan telus yang di ambil ini telah membuahkan hasil yang amat positif. Mereka terlibat secara langsung dalam sistem demokrasi dan pilihanraya Mesir sejak beberapa siri pilihanraya yang telah di adakan walaupun kedudukan Ikhwan Muslimin di Mesir waktu pemerintahan Anwar Sadat dan Hosni Mubarak berstatuskan ‘haram’.

Calon-calon Ikhwan Muslimin telah masuk bertanding sebagai calon bebas dan juga menumpang di atas tiket parti lain. Uniknya, ia telah menang besar dalam setiap pilihanraya umum yang diadakan di Mesir walaupun telah berlaku banyak penipuan.

4.   PENDEKATAN POLITIK IKHWAN

Menurut Saiful Islam, Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman dan merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah-guna kuasa yang berlaku di sana. Bagi Ikhwan agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin akan terus berjuang serta komited kepada penglibatan secara demokratik walaupun ianya masih banyak kepincangannya. Beliau juga memberi jaminan bahawa Ikhwan tetap mengambil sikap untuk terus berdialog dengan mana-mana pihak termasuk tentera SCAF serta kuasa Barat  seperti Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan sekutunya.

5.   DASAR UTAMA IKHWAN

Ikhwan Muslimin juga turut menggariskan empat polisi penting bagi berhadapan dengan cabaran semasa. Pertamanya, penegasan penglibatan politik parti politk yang diasaskan oleh Ikhwan melalui sistem demokrasi dan menyuarakan setiap pandangan rakyat di Parlimen Mesir.

Bagi Saiful Islam, parti-parti politik, badan-badan NGO serta individu-individu sepatutnya dilibatkan dalam membincangkan masa depan negara secara telus.

Keduanya, beliau juga menegaskan bahawa sistem kuasa mutlak hanya kepada sebuah parti dan individu sahaja tidak sesuai lagi dengan peredaran zaman globalisasi yang lebih terbuka ini. Ikhwan komited kepada sebuah negara berlandaskan ‘Civil State’ dan bukannya sebuah negara berlandaskan ‘theocracy’.

Ketiganya, Ikhwan Muslimin juga berpendirian agar dilaksanakan segera reformasi politik dan perubahan perlembagaan terutamanya bagi menghapuskan segala bentuk perundangan yang bertentangan dengan norma-norma demokrasi dan kebebasan.

Yang keempat, beliau menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin mempunyai misi untuk melakukan reformasi politik, sosial, budaya dan ekonomi. Reformasi ini hanya akan berlaku sekiranya ada ketelusan dalam sistem pemerintahan.

6.   KEMENANGAN DR. MOHAMED MORSI

Saiful Islam menegaskan bahawa kejayaan calon Ikhwan Dr. Mohamed Morsi (gambar) memenangi pilihanraya Presiden Mesir serta menang majoriti kerusi Parlimen tidak sepatutnya menakutkan mana-mana pihak. Ikhwan menghormati hak semua agama serta mana-mana parti politik. Sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang tidak telus di sesebuah negara akan membawa kepada salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan yang mengakibatkan kehancuran negara tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa Ikhwan tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali meletakkan agenda reformasi politik dan pendemokrasian sebagai agenda utama. Bagi Ikhwan, tuntutan demokrasi dan kebebasan serta ketelusan pilihanraya adalah merupakan langkah pertama ke arah reformasi yang lebih besar bagi mewujudkan masa depan negara yang lebih positif selepas kejayaan Dr. Morsi sebagai Presiden.

Sebagai akhirnya, Saiful Islam turut menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin akan terus berperanan kepada mewujudkan sebuah Masyarakat Madani serta bersifat terbuka dan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencapai perubahan dan reformasi kearah mewujudkan keadilan dan kebebasan dan kepada seluruh rakyat dan negara./HarakahDaily

Ulasan