MENGUBAH strategi perniagaan tempatan kepada taktik e-Dagang antarabangsa mungkin kedengaran agak sukar untuk dicapai. Bagaimanapun, dengan adanya pasaran dalam talian hari ini mampu menjadikannya kenyataan. MyBazar, pasaran terbaru yang menghubungkan peniaga dan pengguna, memudahkan jualan merentasi sempadan.
Strategi ini juga akan meningkatkan kesedaran jenama dan membawa pelanggan baharu dari seluruh dunia yang berpotensi membeli lebih banyak produk anda. Mari kita lihat beberapa panduan untuk menjalankan perniagaan yang menguntungkan menerusi talian antarabangsa;
1. Selidik keperluan tempatan
Langkah pertama untuk merentasi pasaran e-Dagang antarabangsa adalah mengenali trend belian pasaran asing kerana pelanggan di negara yang berbeza semestinya mempunyai tabiat pembelian yang berbeza. Barang tertentu mungkin terjual lebih baik di internet, sementara yang lain tidak kerana orang yang berlainan meletakkan nilai yang berbeza pada sesuatu produk. Oleh itu, adalah penting untuk membuat penyelidikan pasaran dalam kalangan masyarakat setempat.
2. Fahami peraturan negara
Mengekalkan strategi e-Dagang yang betul bermakna menuruti setiap peraturan khusus negara sasaran anda. Ini kerana, beberapa negara tidak membenarkan barangan tertentu dihantar melintasi sempadan mereka. Sebagai contoh, adalah haram untuk menyebarkan tumbuhan, bahan tumbuhan dan tanah ke Australia. Untuk produk kesihatan pula, kebanyakan negara mempunyai peraturan yang ketat termasuk Malaysia.
Berhati-hati juga mengenai isu-isu cukai perkapalan. Sesetengah negara membenarkan item yang diterima diletakkan di bawah jagaan kastam sehingga pelanggan membayar VAT yang dikenakan. Terdapat juga negara yang memerlukan perniagaan untuk mengutip cukai ketika pembelian dibuat. Pastikan cukai jualan anda telus dan mudah difahami pelanggan.
3. Pilih pembayaran dipercayai
Aspek keselamatan memainkan peranan utama dalam setiap proses keputusan pelanggan, jadi mencari penyedia pembayaran yang boleh dipercayai adalah penting untuk perniagaan e-Dagang anda berfungsi dengan efisien. Dua aspek utama untuk diambil kira adalah kemudahan penggunaan dan keselamatan secara keseluruhan. Pembekal pembayaran yang boleh dipercayai akan memberi perlindungan pembelian dan meningkatkan faktor keselesaan pembeli. Anda juga patut pertimbangkan untuk menawarkan pelbagai kaedah pembayaran sebaik sahaja perniagaan anda semakin berkembang.
4. Pembayaran dalam mata wang tempatan
Walaupun menukar mata wang boleh diselesaikan dengan beberapa klik, pembeli sering kali terkejut tatkala melihat mata wang asing dalam troli beli-belah mereka.
Sekiranya pelanggan terpaksa meluangkan masa berfikir tentang kadar pertukaran mata wang, anda mungkin menghadapi risiko pelanggan tidak meneruskan transaksi dan seterusnya mengabaikan troli beli-belah mereka. Oleh itu, anda dinasihatkan agar membantu mereka dan perniagaan anda dengan membenarkan pembayaran dalam mata wang tempatan.
5. Laman web dalam bahasa tempatan
Usaha untuk memperluas perniagaan anda datang dengan banyak unsur dan faktor untuk difikirkan. Selain mengoptimumkan tapak e-Dagang anda dengan mematuhi peraturan, tradisi dan pilihan membeli-belah sesuatu negara, anda susah tentu juga perlu menterjemahkan laman web anda ke bahasa tempatan. Pilihan ini pastinya akan meningkatkan kepercayaan daripada pembeli kerana ia membuatkan mereka merasa lebih dekat dan selesa.
6. Lancar usaha pemasaran tempatan
Produk anda tidak akan terjual tanpa strategi pemasaran yang baik. Anda seharusnya tahu pilihan pelanggan dan berapa banyak yang mereka ingin belanjakan. Buat rancangan yang betul, dapatkan nasihat pakar pemasaran dan melabur dalam kempen pemasaran berkualiti khas untuk pasaran tempatan.
7. Pertimbang pemulangan barang
Kebanyakan pengusaha e-Dagang antarabangsa tidak menawarkan sebarang pilihan pulangan tempatan dan kos pemulangan sering kali lebih tinggi daripada harga item itu sendiri. Cuba tawarkan pembeli dengan kemudahan untuk menghantar semula pembelian yang ingin dipulangkan ke pusat logistik tempatan di negara tersebut. Semestinya pelanggan berasa selesa dengan pelbagai khidmat yang tersedia.
8. Tembusi pasaran negara kecil
E-Dagang merentasi sempadan juga boleh mendapat keuntungan di negara-negara yang lebih kecil. Mengapa? Ini kerana mereka sering tidak mempunyai banyak pilihan runcit seperti negara-negara lain. Selain itu, mereka juga hanya terdedah untuk membeli dari pasaran global yang lebih besar seperti China.
Apabila anda menentukan permintaan di negara sasaran anda, anda akan dapat melihat corak perbelanjaan masyarakat tertentu. Corak itu boleh digunakan untuk memacu jualan antarabangsa menjadi perniagaan yang menguntungkan.
9. Bersedia untuk bertanding
Cabaran terakhir yang perlu anda hadapi ialah persaingan tempatan. Walaupun anda mungkin menawarkan sesuatu yang unik, memujuk pelanggan asing untuk membeli produk tidak selalunya mudah. Kunci untuk mempersiapkan perniagaan anda dalam persaingan ini adalah menyelam jauh ke dalam pasaran mereka dan mengumpulkan semua maklumat yang diperlukan. Ini termasuk trend belian dan tabiat pembelian yang berbeza untuk sesebuah negara tertentu.
Info
Dikenali sebagai bazar tempatan di dunia, MyBazar bertujuan untuk membawa penjual dan pengguna dari seluruh dunia lebih dekat melalui aliran komunikasi langsung tanpa kerumitanpihak ketiga yang terlibat dalam transaksi. Jom sertai MyBazar untuk meluaskan lagi pasaran anda di seluruh dunia!
sinar harian online
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..