Maybank jenama bank paling bernilai

Maybank

MAYBANK mengekalkan kedudukannya sebagai jenama bank terunggul di Malaysia menurut laporan Brand Finance Banking 500 Brand Value Report 2018.

Brand Finance, syarikat penilaian jenama dan perundingan strategik memberitahu, nilai jenama Maybank telah meningkat sebanyak 24 peratus dengan mencatat peningkatan kepada AS$3.16 bilion berbanding AS$2.54 bilion pada 2017.

Menurut syarikat itu, di Asean, Maybank adalah jenama bank kelima terbaik manakala di dunia Maybank telah memperbaiki kedudukannya apabila melonjak dari kedudukan 90 ke 83 sebagai jenama bank paling bernilai.Maybank juga mengekalkan penarafan AAA-, sekali gus menjadi jenama bank paling kukuh untuk empat tahun berturut-turut di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pencapaian ini menunjukkan usaha kolektif kakitangan Maybank dalam menyediakan pengalaman jenama yang konsisten untuk pelanggan di seluruh dunia.

“Misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan merupakan elemen penting yang telah mendorong ke arah kejayaan ini.
"Misi ini juga telah membolehkan Maybank membina satu rangkaian pekerja terbaik yang bersemangat untuk terus mencipta pengalaman jenama unik untuk pelanggan kami di serata dunia,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik, Samir Dixit berkata, Maybank telah berkembang dengan pesat dalam tempoh lima tahun dan ini dilihat menerusi peningkatan nilai jenama secara organik yang telah berganda dalam masa tujuh tahun.
Laporan kaji selidik tahunan Brand Finance menilai beberapa ribu jenama syarikat terbesar di dunia.

Keputusan analisis ini seterusnya dibandingkan dengan 500 jenama bank paling bernilai di dunia yang disenaraikan di Brand Finance Banking 500.

Sinar Harian Online

Ulasan