Pelabur jangan panik!

ASNB
AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang juga pengurus tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB), menasihati para pelabur berwaspada dan tidak berkongsi maklumat peribadi dan pelaburan dengan pihak yang tidak dikenali.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin menasihati para pelabur supaya tidak melayan sebarang panggilan yang bertanyakan mengenai butiran pelaburan walaupun pemanggil mendakwa mereka adalah pegawai bank mahupun pegawai ASNB sendiri.

"Sebagai pengurus unit amanah yang mengurus lebih 229 bilion unit dalam edaran milik lebih 13.4 juta pemegang akaun, ASNB sentiasa komited melindungi wang pelabur dengan menggunakan sistem keselamatan terbaik.“Jika menerima sebarang panggilan yang mencurigakan, pelabur disarankan jangan mudah panik dan tidak membuat sebarang transaksi membabitkan pengeluaran ASB atau unit amanah ASNB yang lain.

"Pelabur diminta untuk peka dan mengambil tahu mengenai kewujudan sindiket seperti “Macau Scam” kerana ASNB tidak boleh membantu menggantikan wang pelaburan mereka sekiranya wang berkenaan dikeluarkan oleh pelabur sendiri setelah dipengaruhi sindiket tersebut," katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahntya, antara modus operandi “Macau Scam” yang telah dikenal pasti ialah pemanggil mendakwa dirinya pegawai bank memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan dadah sebagai strategi memperdayakan mangsa.
Beliau berkata, kes penipuan seumpama “Macau Scam” adalah antara tujuan ASNB menganjurkan program pendidikan berasaskan pelaburan seperti Seminar Pelaburan 360 Hari.

"Menerusi program seperti ini, kami dapat berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai pelaburan, perancangan kewangan, produk dan perkhidmatan ASNB.  
"Pada masa yang sama, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat lanjut dengan ber­tanyakan terus kepada pegawai kami jika terdapat sebarang persoalan berkaitan ASNB.
"Seminar Pelaburan 360 Hari yang dianjurkan ASNB setiap hari sejak 2003, telah disertai 666,003 peserta dan dianjurkan di 6,918 lokasi seluruh negara sehingga 30 Jun lalu," katanya.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad  menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati 1,000 unit Amanah Saham Wawasan 2020 kepada warga kerja salah sebuah ejen ASNB yang  berjaya membantu seorang pelabur ASB daripada diperdaya sindiket “Macau Scam”.

"Dalam kejadian berkenaan, pelabur tersebut menerima pang­gilan daripada seorang pemanggil yang menyamar sebagai pegawai bank dan mendakwa beliau terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram, serta mengarahkan beliau memindahkan wang berjumlah RM120,000 untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

"Pelabur yang panik  pergi ke cawangan ejen ASNB berdekatan untuk mengeluarkan semua wang pelaburan ASBnya untuk dipindahkan ke akaun baharu sepertimana diarahkan pemanggil. Namun, pelabur berkenaan bernasib baik kerana keresahan beliau disedari oleh warga kerja ejen ASNB yang mengambil inisiatif bertanya lebih lanjut dan kemudiannya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis," katanya.  

Sinar Harian

Ulasan