Cadang Majlis Fatwa haramkan PRU musim haji

Harakahdaily, 17 Jun 2012  
 
KUALA LUMPUR: Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mazlee Malek meminta Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa bahawa mengadakan pilihan raya di musim haji adalah haram.

"Majlis Fatwa harus berani mengeluarkan fatwa yang PRU adalah haram diadakan di musim Haji," katanya kepada Harakahdaily.

Dr Mazlee mengulas polimik isu ini apabila Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar ahli PAS yang terlibat dengan PRU menangguh pemergian mereka ke tanah suci jika PRU diadakan di masa itu juga.

Bagi Dr Marslee, isunya bukan hukum menangguhkan haji kerana PRU, perspektif menyikapi isu ini perlu diperbetulkan.

"Sepatutnya, kita perlu sedar bahawa setiap hak setiap warga yang sah untuk mengundi adalah dijamin oleh perlembagaan.

"Maka, setiap warga Malaysia yang sah yang menetap di luar negara wajib diberi peluang untuk mengundi.

Mengadakan pilihan raya di musim haji jelasnya akan menjejaskan peluang warga Malaysia yang menunaikan haji untuk menjalankan hak mereka yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan.

Bagi Mazlee, mengundi juga merupakan kewajipan setiap individu muslim untuk menentukan kelangsungan masa depan negara dan menepati Maqasid al-Syari'ah.

"Perlu ada precedence pada SPR bahawa PRU samasekali tidak boleh diadakan di musim haji," katanya.
 
 

Ulasan