KUANTAN - Tidak timbul isu mengenai perebutam jawatan perdana menteri jika pembangkang berjaya mengambil-alih Putrajaya kerana keputusan mengenai siapa yang akan menduduki kerusi itu sudah pun diputuskan.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan konon Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan jadi perdana menteri sementara adalah tidak benar kerana pakatan tidak pernah bercadang untuk menjadikan kerusi itu jawatan bertempoh dan ditukar antara pemimpin PR.
"Tidak timbul isu berebut atau merampas kuasa kerana segala keputusan dibuat bersama," katanya.
Anwar dalam kenyataan disiarkan Sinar Harian kelmarin menyatakan beliau bukan pemimpin lembab untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada pemimpin DAP. Beliau memberi reaksi demikian terhadap kenyataan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang berkata Anwar mungkin akan melepaskan jawatan dalam tempoh tiga bulan selepas menang pilihan raya dan menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mungkin akan dilantik ke jawatan itu menggantikan Anwar.
Ini susulan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sebelum itu berkata, tiada halangan dari segi undangundang untuk bukan Melayu dilantik jadi perdana menteri dan beliau (Karpal) akan terus berjuang memastikan perkara itu jadi kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, dakwaan Hasan sama sekali tidak berasas.
"Ia hanya momokan Hasan yang sudah jadi alat Umno untuk menakutkan orang Melayu," katanya.
Fuziah berkata, Umno merancang taktik sedemikian kerana terdesak akibat tidak mendapat sokongan kaum Cina dan hanya 50-50 daripada kaum India.
“Sebenarnya, isu jawatan PM dalam tempoh tertentu tidak timbul dan Anwar sudah memberikan kenyataan yang betul,” katanya merujuk pada kenyataan Anwar menerusi Sinar Harian semalam bahawa beliau bukan pemimpin yang lembab untuk menyerahkan jawatan itu kepada orang lain jika sudah memegangnya./SinarHarian
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..