12 Jun 2012
SHAH ALAM - Untuk kali kedua, Debat Sinar Harian akan dianjurkan antara dua tokoh berlainan ideologi politik bagi memberi peluang kepada rakyat mendengar idea mereka berhubung isu yang menjadi buah mulut masyarakat hari ini.
Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, tajuknya masih lagi dibincangkan peringkat akhir sebelum diumumkan penganjur dalam masa terdekat.
“Debat antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub itu akan diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada 19 Jun depan.
“Penyertaannya adalah terhad, jadi kami akan membuat jemputan khas untuk 350 kerusi yang disediakan pada malam berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Debat berkenaan akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.
Abd Jalil berkata, Sinar Harian sebagai akhbar rasmi, juga akan siarkan laporan penuh debat ini keesokan harinya.
“Sinar Harian telah mengadakan beberapa perbincangan dengan kedua-dua pendebat ini, masing-masing menunjukkan kesungguhan dan sedia berdepan dengan hujah masing-masing,” katanya lagi.
Sebelum ini, Sinar Harian pernah menganjurkan 13 siri wacana setiap bulan dengan pelbagai tajuk menarik untuk disajikan kepada pembaca setia.
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..