KUALA LUMPUR, 4 Julai — Sambil meminta sekretariat Bersih 2.0 menerima tawaran perdana menteri stadium sebagai lokasi perhimpunan, bekas mufti Perlis mengesyorkan penganjur menggantikan program 9 Julai dengan kempen Minggu Bersih supaya efektif.
“Bersih mungkin boleh ganti dengan melancarkan Minggu Bersih dengan meminta rakyat mengibarkan bendera Malaysia dalam minggu tersebut atau memakai petanda kuning atau selainnya-tidak semestinya ditulis Bersih,” kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Putrajaya telah memutuskan Bersih 2.0 sebagai satu pertubuhan haram sejak 1 Julai.
Asri (gambar) berkata kempen Minggu Bersih akan membolehkan lebih ramai rakyat yang bersetuju dapat menyatakan persetujuan mereka dengan tuntutan “pilihan raya yang adil”.
“Juga mungkin mereka yang antipembaziran dan kenaikan harga barang boleh sertai.
“Lebih ramai dapat meluahkan perasaan dengan cara yang lebih selamat seperti bendera di kereta, rumah, baju dan sebagainya. Seluruh negara akan meriah,” katanya.
Ahli ademik ini menambah, “jika buat perhimpunan dan polis larang hadir, lalu jumlah yang diharapkan tidak diperoleh, maka itu ‘defeat the purpose’.”
Asri menambah pihak sekretariat Bersih 2.0 menerima sahaja tawaran Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan perhimpunan di stadium dengan meminta wakil Yang di-Pertuan Agong hadir menerima surat bantahan tersebut dan boleh berceramah lagi di stadium tersebut.
“Berikan syarat bahawa jika melimpah, orang ramai boleh duduk di luar stadium tanpa gangguan,” katanya.
Semalam, Tuanku Mizan bertitah agar setiap permasalahan yang timbul - dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.
Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”
“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.
Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.
“Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” titah baginda.
“Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara,” titah baginda lagi.
Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.
Sehingga kini lebih 150 orang yang dikaikan dengan Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan.
Tuanku Mizan berkata baginda sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.
Pagi tadi, Najib berkata pihaknya sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan.
“... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.
“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya.TheMalaysiaInsider
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..