SUNGAI  PETANI 30 JULAI : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan  Umno-Barisan Nasional(BN) yang selama ini didakwa kononnya sebagai  sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebenarnya, gagal dalam  merealisasikan hasrat menggunung mereka untuk memperjuangkan dasar  tersebut.
Abdul Hadi berkata, walaupun sudah  lebih 50 tahun mentadbir negara, slogan Islam yang diperjuangkan oleh  mereka hanya menjadi nostalgia dan kenangan kerana tidak berjaya untuk  mempraktikkan apa yang dilaungkan sejak menerajui kepimpinan negara.
Menurut  Abdul Hadi, Umno tidak menjadikan parti mereka sebagai sebuah parti  contoh yang boleh diteladani dalam memberi kefahaman kepada bukan Islam.
"Umno  juga gagal untuk meyakini rakan mereka seperti MCA, Gerakan, MIC, PBS  dan komponen bukan Islam yang lain untuk memahami konsep Islam yang  dibawa oleh mereka.
"Apabila PAS cuba  menyatakan kebenaran dengan menunjukkan teladan yang baik dan menjadi  tuntutan syariat, Umno akan menentang walaupun mengetahui kebenaran yang  ada, " katanya dipetik Harakhadaily ketika berucap di hadapan ribuan  hadirin yang membanjiri padang awam, Taman Bandar Baharu, Sungei Lalang,  di sini malam tadi.
Beliau juga berkata, dalam  tempoh singkat pemerintahan PAS dan PR di Kedah, usaha bagi mengekang  maksiat dan kebatilan turut dibantah oleh Umno dan BN.
"Kenapa  semasa PR perintah, hendak sekat umat Islam dari melakukan maksiat di  tempat-tempat hiburan atau melalaikan, Umno yang didakwa memahami Islam,  hendak menyekat usaha yang menjadi tuntutan ini.
"Sepatutnya  Umno yang meluluskan enakmen hiburan tersebut pada tahun 1997 semasa  memerintah dulu, menyokong untuk kebaikan umat Islam sendiri, bukannya  menentang.
"Soal agama tidak harus dipolitikkan  demi fahaman sempit yang menunjukkan kedangkalan ilmu dan kefahaman  Islam yang sebenarnya," tambahnya lagi.
Jelasnya  lagi, PAS adalah sebuah parti yang mampu untuk mengorak langkah membawa  perubahan dalam pilihan raya umum yang akan datang, bukan saja kepada  seluruh rakyat negara ini, malah mampu membawa reformasi dalam sistem  pemerintahan negara.TVSNEWS
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..