Pakatan: Dedah surat usaha terakhir BN tutup hubungan Israel - Malaysia

Wartawan Sinar Harian
2 Mac 2012
SHAH ALAM - Pas dan PKR menyifatkan pendedahan surat yang ditulis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel adalah usaha terakhir kerajaan menutup hubungan dengan negara itu yang telah terjalin.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pendedahan itu dibuat kerana kerajaan tidak dapat menafikan penglibatan mereka dengan­ Israel selama ini.

“Apabila satu persatu pendedahan dibuat Pakatan Rakyat tentang hubungan dengan Israel, mereka tidak mampu menafikannya sehingga terpaksa mendedah­kan surat tersebut.

“Apa yang kita persoalkan ialah apakah hubungan pemimpin Barisan Nasional (BN) bertemu pihak Israel dan hubu­ngan perdagangan yang telah dibuat?,” soalnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula mendakwa, pada luaran sahaja Dr Mahathir bersikap tegas dengan Israel, tetapi pendedahan itu membuktikan kepura-puraannya selama ini.

“Ketika beliau sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan­ Israel dan memfitnah (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai pro-Yahudi, secara senyap-senyap beliau mengambil pendekatan berbeza dengan­ pemimpin Zionis.

“Kenyataan Anwar yang diserang media Umno-BN dibuat apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journal berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin. Beliau menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela merangkumi hak mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi,” katanya.

Katanya, Anwar juga mengungkapkan jika syarat dipenuhi, wajarlah hak rakyat Israel dihormati dan Anwar menolak hubungan diplomatik dengan Israel.

Menurutnya, Dr Mahathir bertemu dan berhubungan dengan Perdana Menteri Israel berulang kali di atas keinginan menjalin hubungan antara Malaysia dan Israel.

“Hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin. Sikap ini diteruskan pentadbiran (Perdana Mente­ri) Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding mereka,” katanya.

Ulasan