PRU13: Umno/BN makin bimbang mood rakyat


KUALA LUMPUR, 19 Mac: PAS mendakwa 'nasihat' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar rakyat tidak menggadai masa depan dengan mengundi pembangkang membuktikan BN bimbang dengan perubahan 'mood' rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semakin dekat dengan pilihan raya umum, semakin banyak kenyataan Najib yang menggambarkan kerisauan BN.

"Pemikiran Perdana Menteri ini masih lagi pemikiran lama, belum berubah.

"Dulu Perdana Menteri merayu pengundi berilah peluang sekali lagi kepada BN. Kemudian beliau minta maaf di atas kesilapan BN dan kali ini beliau kata jangan gadai masa depan dengan undi Pakatan.

"Saya fikir ini menggambarkan BN berada dalam keadaan bimbang terhadap perubahan mood rakyat sekarang," kata beliau pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa sempena konvoi penerangan Lajnah Penerangan PAS Pusat ke Wilayah Persekutuan, semalam.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata, tidak timbul soal menggadai masa depan rakyat kerana terbukti mereka menerima manfaat yang lebih baik di begeri-negeri Pakatan Rakyat berbanding di bawah kerajaan BN.

"Bila rakyat buat perubahan tidak timbul soal gadai maruah atau gadai masa depan sebab negeri-negeri yang rakyat buat perubahan, rakyat ternyata mendapat manfaat lebih baik daripada apa yang ditawar BN.

"Selain pendapatan negeri-negeri yang meningkat berkali ganda, jelas bahawa negeri-negeri yang dimenangi ini, kita berjaya membersihkan imej pemimpin-pemimpin korup dan tak ada isu-isu begitu berlaku di negeri kita menang termasuk di Kelantan selama 20 tahun," katanya.

Tambahnya lagi, negeri Pakatan Rakyat mengamalkan pentadbiran yang telus contohnya dalam pemberian projek, dilakukan secara tender terbuka.

"Tak timbul soal menggadai masa depan sebab sebarang elemen pembangunan sebagai contoh sumber negeri, kerajaan negeri yang kita menang semua projek melalui tender terbuka dan diadakan perbincangan direct dengan mereka yang terlibat dalam setiap pembangunan yang nak dibuat," katanya.

Kelmarin, Najib mendakwa BN sudah melakukan pelbagai perkara untuk kesejahteraan rakyat termasuk menyalurkan pelbagai bantuan kerana BN mampu mengurus tadbir negara dengan cekap dan berkesan.

Beliau turut mendakwa Pakatan Rakyat tidak mempunyai kemampuan untuk mengurus tadbir negara./HarakahDaily

Ulasan