Kegelisahan rakyat terhadap GST berasas [ Rafizi Ramli ]

Rafizi Ramli
Iklan Penaja
http://usahawanjutawan33.blogspot.com/p/siapa-di-antara-andayang-ingin.html

SHAH ALAM - “Kegelisahan rakyat mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu berasas, kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos sara hidup terus meningkat dan sebahagian besarnya disebabkan oleh tindakan kerajaan menarik balik subsidi,” kata Pengarah Strategis PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata demikian mengulas bantahan segelintir rakyat Malaysia terhadap pelaksanaan GST pada 1 April 2015.

Menurutnya, rakyat boleh merasai bagaimana satu barang yang harganya dulu rendah telah meningkat kini, itu sebelum GST diperkenalkan, bayangkan sekiranya GST diperkenalkan nanti.

“Kerajaan sendiri tidak menafikan sehingga kini bahawa pengenalan GST akan melonjakkan inflasi, dianggarkan kadar inflasi rasmi boleh mencecah sehingga 8% dalam tahun pertama pelaksanaan GST.

“Apabila inflasi meningkat, sudah tentu harga barang akan meningkat. Perkara ini begitu mudah difahami oleh rakyat kerana apabila sesuatu barangan atau perkhidmatan dikenakan cukai, sudah tentu harganya lebih mahal,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam pada itu, ketika menjawab kenyataan Ahli Parlimen Ledang yang juga merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri yang menuduh Pakatan Rakyat cuba mengelirukan rakyat berhubung pelaksanaan sistem GST ini, Rafizi berkata pembangkang tidak pernah meracuni fikiran rakyat, sebaliknya segala maklumat mengenai GST mereka yang cari sendiri.

“Bagi saya, rakyat yang  mengumpul sendiri maklumat dan memahami bahawa GST bakal membebankan mereka, bukan disebabkan penerangan yang diberikan oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Pelaksanaan GST berkadar enam peratus diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas.

GST akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang pada masa ini berkadar keseluruhan 16 peratus.

Sinar Harian

Ulasan