Akibat skim cepat kaya

  duit
 
SESEORANG kakitangan yang berpengalaman di sesuatu industri yang memerlukan kepakaran tertentu sememangnya dibayar gaji lumayan setiap bulan.

Dengan pendapatan sedemikian, mereka sudah mampu memiliki aset-aset yang diingini di samping taraf kehidupan lebih baik berbanding kebanyakan orang lain. Apatah lagi jika mereka ini pandai menguruskan aset-aset yang mereka miliki.

Namun begitu, disebabkan sifat tamak haloba yang bersarang di hati, kesenangan yang dikecapi akan hilang sekelip mata.

Seorang pegawai teknikal yang dikenali sebagai Amran (bukan nama sebenar) sebelum ini mendapat pendapatan yang lumayan di antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan. Dengan pendapatan tersebut, dia mampu memberi kebahagiaan kepada keluarganya dan kesemua anak-anaknya dihantar belajar ke sekolah swasta.

Namun, disebabkan terpikat dengan skim pelaburan emas yang dijalankan seorang rakan, kononnya menjanjikan pulangan menarik, ditambah dengan contoh rakan yang telah mendapat habuan, tanpa berfikir panjang dan merujuk mana-mana pihak, Amran melabur dengan skim tersebut.

Pada mulanya dia melabur sebanyak RM50,000 dan setelah yakin dengan pulangan menarik malah lebih tinggi daripada yang ditawarkan agensi pelaburan lain, dia membuat pinjaman peribadi bagi membolehkannya melabur keseluruhannya berjumlah sebanyak RM155,000.

Walaupun kontrak pekerjaannya akan tamat selepas daripada itu, Amran yakin pulangan yang akan diperolehi tiap-tiap bulan daripada pelaburan berkenaan akan dapat menampung kos kehidupan keluarganya termasuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan bagi kesemua hutang bank.

Beberapa bulan kemudian, Amran mendapati pihak penganjur mula gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan dan ada ketikanya tertangguh. Apabila ditanya kepada rakan penganjur berkenaan, mereka juga gagal membantu dan memintanya menghubungi terus syarikat berkenaan yang berpusat di utara semenanjung.

Disebabkan tertekan dengan pelbagai masalah, termasuk panggilan daripada bank dan juga agen kutipan disebabkan kegagalan menjelaskan ansuran pinjaman, Amran berusaha untuk mendapatkan bantuan.

Dia kemudian terlihat iklan mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di kaca televisyen. 

Tanpa membuang masa, dia terus ke cawangan AKPK Kuala Terengganu dan berbincang masalah dengan kaunselor AKPK. Setelah berunding, kaunselor AKPK  menstrukturkan pinjaman-pinjamannya kembali dan mengurangkan komitmen bulanan kepada bank.

Menurut Ketua Cawangan AKPK Kuala Terengganu, Alias Mat Ali, ini merupakan salah satu contoh yang mana sifat ingin cepat kaya dan kekurangan ilmu pengurusan kewangan peribadi menyebabkan orang ramai terjebak dengan skim cepat kaya yang kononnya mampu memberi kesenangan hidup dalam masa singkat.

Nasihatnya, orang ramai perlu membuat semakan kepada pihak tertentu terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu pelaburan supaya dapat mengelakkan apa-apa kerugian.
 
Sinar Harian

Ulasan