DAP hari ini mengumumkan rancangan mereka untuk membina sebuah masjid untuk masyarakat Islam di sekitar Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang Kelantan.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu dipersetujui selepas mereka mendengar permohonan daripada imam serta penduduk di kawasan berkenaan.
Kata Loke, pemimpin kanan parti itu, Lim Kit Siang sendiri mengarahkannya membuat pengumuman itu.
"Kami bersedia untuk membina masjid di Kampung Pasir Tumboh," katanya dalam ucapan di majlis penyerahan rumah Gabungan Impian Kelantan, tengah hari tadi.
Rumah itu dibina dengan sumbangan orang ramai dan setakat ini sebanyak 40 unit siap dibina dan diserahkan kepada pemilik yang layak.
Setiap satu rumah dibina dengan kos antara RM15,000 hingga RM20,000.
Bantu atas dasar kemanusiaan
Menurut Loke, DAP berkarap penduduk dan jawatankuasa masjid di situ boleh bersepakat untuk membenarkan pembinaan dijalankan.
"Kami membantu atas dasar kemanusiaan," katanya.
Loke memberitahu, DAP memberi jaminan wang yang akan digunakan nanti adalah hasil sumbangan derma orang ramai dan bebas daripada sebarang unsur haram seperti judi.
Sebelum itu imam Kampung Pasir Tumboh Abdul Mutalip Seman menegaskan penduduk setempat berharap ada pihak yang membina masjid mereka yang rosak teruk akibat banjir tahun lalu.
"Bantuan daripada Gabungan Impian Kelantan dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain, kini kami berjaya tinggal dalam rumah selesa semula.
"Cuma yang masih rosak dan belum dibaiki sekarang ini adalah masjid kami.
"Kami harap DAP dan pertubuhan bukan kerajaan lain sudi membantu membangunkan masjid pula," katanya.
Menurut Abdul Mutalib, beliau dan penduduk kampung tidak ada masalah dalam soal siapa yang membina masjid berkenaan.
Malaysiakini
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..