SEREMBAN – Sebut sahaja mi udang, terus terbayang mi udang yang sangat
popular di Kuala Sepetang, Perak; Penang dan Kuala Selangor.
Di daerah malah negeri ini, terlalu sukar untuk mendapatkan gerai atau
restoran yang menjual mi udang. Untuk mencari yang enak, apatah lagi.
Tapi sekarang tidak lagi.
Cubalah ke kedai makan Mee Udang Pakar yang terletak di Pusat Komuniti
dan Karavan (Pakar) Paroi, jalan Kuala Pilah-Seremban untuk
menikmatinya.
Kedai ini baru sahaja setahun beroperasi, namun keenakannya menarik ramai pengunjung.
Udang segar bersaiz XL yang tertonggok di dalam mangkuk menambah kesedapan mi yang dihidang.
Menurut pemilik kedai, Norzati Isa, 45, idea untuk menjalankan
perniagaan menjual mi udang ini timbul sejak dia menghantar anaknya
belajar di Politeknik Kuala Selangor.
Katanya, semasa menghantar anak, mereka berhenti untuk makan di sebuah kedai yang menjual mi udang.
“Disebabkan rasanya yang sedap dan ditambah pula dengan minat untuk
mencuba, saya terus mencari idea untuk membuat mi udang sendiri.
“Saya tidak mempunyai resipi khas, sebaliknya saya banyak berjalan dan
keluar makan bersama suami bagi mencari idea baru untuk menghasilkan mi
udang yang sedap.
“Saya dan suami kaki makan, mana ada kedai makan sedap kami akan cuba,
sehinggalah saya mempunyai idea tersendiri untuk menghasilkan mi udang.
“Saya hasilkan resipi ini hanya melalui rasa makanan itu sahaja, dan
cuba reka cipta sendiri resipi sehinggalah ia menjadi sedap,” katanya.
Menurut Norzati, untuk mendapatkan kuah yang terbaik, dia harus pandai menjaga kualitinya.
Katanya, mereka perlu menggunakan udang segar sekiranya mahu mendapatkan kuah yang sedap rasanya.
Kata Norzati, setiap hari dia akan mengambil 18 sehingga 25 kilogram
(kg) udang segar yang dibekalkan oleh pengusaha udang tempatan.
“Jika musim cuti seperti hari Ahad dan cuti umum, tempahan udang saya
pernah mencecah 30 kg sehari, bersamaan empat periuk besar kuah mi
udang," katanya.
Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..