Risiko 'main' Forex: Kerugian RM400,000

Risiko 'main' Forex: Kerugian RM400,000

GARA-GARA tertarik dengan keuntungan berlipat ganda, seorang peniaga rugi RM400,000 selepas menyertai skim dagangan mata wang asing (Forex).

Mangsa yang enggan dikenali berkata, dia mula terjebak dengan Forex pada 2007 selepas diperkenalkan rakannya yang tidak mengetahui syarikat broker disertai mereka itu adalah 'scammer'.

“Selepas tiga bulan saya bersama syarikat itu, saya rugi RM300,000 kerana broker itu mengenakan caj setiap kali urus niaga belian mata wang dijalankan. Walaupun caj itu kelihatan tidak banyak seperti perbezaan 10 sen, tetapi apabila kita berurus niaga banyak kali, ia tetap merugikan.

“Selepas itu, saya mula selidik syarikat itu dengan Bank Negara Malaysia dan mendapati ia merupakan syarikat ‘scam’,” katanya.

Tidak serik, dia kemudiannya mencuba nasib dengan menyertai dagangan Forex bersama broker terkemuka antarabangsa tetapi malangnya rugi RM100,000 akibat tidak mempunyai kemahiran dalam urus niaga dagangan Forex.

“Syarikat itu hanya menyediakan platform untuk urus niaga Forex, tetapi tidak membimbing tentang teknik atau strategi menguruskan mata wang ini.

“Saya ada belajar pelbagai teknik untuk meningkatkan keuntungan dalam pelaburan ini daripada pelbagai negara dan menghabiskan ribuan ringgit untuk tujuan itu. Tetapi, apabila saya cuba praktikkan dalam urus niaga Forex, ia tidak berkesan,” katanya.

Dia kini berhenti daripada menjalankan urus niaga dagangan Forex, sebaliknya memberi tumpuan kepada perniagaannya dan turut terlibat dengan pelaburan saham di Bursa Malaysia.

Sinar Harian

Ulasan