Warisi ilmu dimiliki nenek

Warisi ilmu dimiliki nenek

TELOK KEMANG – Selagi ada ibu bersalin, selagi itu akan ada permintaan terhadap urutan tradisional Melayu untuk mereka menyempurnakan proses berpantang.
Ini diakui oleh pengamal urutan tradisional Melayu, Rosnani Yusof, 53, yang sudah berkecimpung dalam bidang  itu sejak 20 tahun lalu.

Rosnani atau lebih dikenali sebagai Cik Kiah memberitahu, sejak kecil lagi, dia sering mengikut neneknya pergi berurut pelanggan.

"Ibu dan nenek saya pengamal urutan tradisional. Masa kecil, saya selalu ikut dan tengok nenek pergi urut orang.  Satu hari nenek minta saya urut dia dan sejak itu dia beritahu saya ada bakat untuk jadi seorang tukang urut macam dia.

“Kemudian saya mula berjinak-jinak dalam dunia urutan tradisional semasa menetap di Sabah ketika mengikut suami bertugas sebagai tentera pada pertengahan 1990an.


"Nak dijadikan cerita, masa tu ada jiran bersalin tapi kat sana (Sabah) susah nak cari tukang urut, jadi saya cuba membantunya dan maklum balas diterima sangat baik. Lepas tu  semakin ramai yang minta saya untuk mengurut mereka sama ada berurut untuk selepas bersalin mahupun untuk urutan biasa,” katanya ketika ditemui di Rose Spa di Medan Remis Batu 6 Port Dickson, semalam.

Walaupun bergelar bidan kampung, Cik Kiah pernah mengikuti beberapa kursus urutan termasuklah urutan dalam perubatan Islam bagi menambahkan lagi pengetahuannya dalam bidang urutan.
"Sepanjang 20 tahun mengurut, pelbagai ragam pelanggan ditemuinya, tapi semua itu dah jadi asam garam dan menjadikan saya lebih tenang dan dewasa dalam bidang ini,” katanya yang kini menetap di port Dickson selepas suaminya pencen.

Tambah Cik Kiah, sejak pertengahan tahun ini, dia memberanikan diri membuka pusat spa bagi menambahkan pendapatannya.

“Sebelum ini, saya pergi ke rumah pelanggan, sekarang saya beranikan diri buka spa urutan dan beri peluang kepada orang ramai untuk dapatkan khidmat urutan dalam suasana lebih selesa serta dilengkapi banyak kemudahan.

"Tetapi untuk urut orang bersalain, saya masih melaksanakan konsep sama, iaitu datang ke rumah pelanggan," katanya.

Katanya, spa yang baru beroperasi empat bulan itu turut menyediakan perkhidmatan mandian herba dan akan mengadakan kelas pengenalan teknik urutan tradisional Melayu kepada mereka yang berminat.

Sinar Harian

Ulasan