Maybank bantu peniaga kecil kembang perniagaan

  Maybank bantu peniaga kecil kembang perniagaan

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bagi mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka.

Dalam satu kenyataannya, antara perkhidmatan ditawarkan termasuklah pelan pembiayaan sehingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun kepada pemilik perniagaan bagi meningkatkan aliran tunai perniagaan.

"Pemilik perniagaan kecil mungkin memerlukan pelan pembiayaan bagi meningkatkan aliran tunai perniagaan untuk tujuan tertentu seperti membayar cukai, kos operasi, dan membuat pembayaran kepada pembekal-pembekal dan lain-lain.

"Pembiayaan Maybank PKS mikro dapat menyediakan modal kerja tambahan kepada pemilik perniagaan kecil untuk menjalankan atau mengembangkan perniagaan. Permohonan juga cepat dan mudah," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Maybank turut menyediakan kemudahan Mesin Deposit Tunai Maybank bagi memudah dan memberi kelonggaran kepada pemilik perniagaan bagi tujuan mendepositkan wang.
Pengusaha perniagaan kini boleh memilih mesin deposit tunai untuk menjalankan transaksi penyimpanan wang di 70 cawangan Maybank di seluruh negara yang boleh dilakukan pada bila-bila masa.


Menurut kenyataan itu, dengan adanya kaedah ini, PKS akan mudah melakukan transaksi dan tidak perlu memegang wang tunai dalam jumlah banyak untuk tempoh masa yang lama.  

"Ini memandangkan, PKS antara perniagaan yang biasa menerima aliran tunai daripada pelanggan yang membuat pembayaran barangan.

"Jika sebelum ini, pemilik perniagaan ini kerap ke bank untuk deposit tunai hingga ada melakukannya beberapa kali dalam seminggu.

"Jadi mereka tidak perlu lagi menghabiskan masa ke bank dan membuang masa beratur, sebaliknya boleh menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja mereka atau memburu peluang perniagaan baru di pasaran,” katanya.

Pada masa sama, Maybank turut menyediakan platform atas talian (online) bagi peniaga untuk menguruskan perniagaan online masing-masing menerusi Maybank2u Biz.

Ia memudahkan PKS untuk menguruskan perniagaan mereka seperti pembayaran gaji kakitangan hingga pembayaran kepada pembekal tanpa sebarang yuran langganan.

Katanya, dengan Maybank2u Biz, pemilik perniagaan tidak perlu lagi mengeluarkan cek secara manual kepada pembekal, sebaliknya boleh membuat pembayaran menerusi perkhidmatan Giro antara bank melalui Maybank2u Biz dengan kos 11 sen berbanding 53 sen untuk pembayaran yuran pemprosesan cek.

Kredit : Sinar Harian

Ulasan