Langkau ke kandungan utama

Ekonomi digital di depan mata

Ekonomi digital di depan mata


    BERMULA dengan angan-angan, berakhir dengan kenyataan. Tidak salah untuk berangan dan berimpian besar. Apa yang utama, buat dan buat sampai dapat.
    Kita berada dalam dunia yang belum kiamat. Adatnya kita akan berdepan dengan perubahan. Usah kalah sebelum berjuang. Usah tumbang sebelum sempat memahami keadaan.

    Apakah yang paling utama bagi seorang insan? Tentulah capai potensi, sama ada atas sifat insan biologi, insan cerdik diri, atau insan isi perkara inti untuk hadapi hari-hari selepas mati.
    Apakah rahsia insani sejak dahulu lagi? Kita akan temui apa yang dicari. Kita akan dapati apa yang didoakan. Tuhan akan beri sama ada secara pasti sekarang ini atau pun dalam kehidupan yang abadi nanti.

    Apa yang kita tuju, itulah yang dapat kita tembak. Apabila tiada sasaran, tembaklah ke mana jua, ia bukan lagi perlu untuk diambil kira.
    Dunia berputar atas paksi. Perubahan berlaku sejak setiap kali berlaku revolusi. Bermula seingat kita dari era sebagai pemburu sampailah bertani, kemudian membawa kepada revolusi perindustrian sampailah teknologi maklumat.
    Hadirnya komputer atas setiap meja dan riba manusia hingga munculnya internet mengubah segalanya. Ledakan terkini media sosial menghubungkan manusia menjadikan seluruh tempat sebagai kampung sejagat.

    Dari Kampung Peringat, Kota Bharu, Kelantan sampailah Segamat, Johor. Dari China sampailah ke Belanda. Dari Rusia sampailah ke Amerika.
    Kita telah dibolehkan menjadi pedagang dunia berbekalkan modal watak diri, ilmu dan pengetahuan yang dicari serta skill dan kemahiran terperi. Apakah jambatan untuk capai semua ini? Jawabnya disiplin diri.

    Ada tiga modal yang kita akronim sebagai WIS (watak, ilmu dan skill) akan bawa kita ke seberang, dua lagi modal “OM” menunggu di sana. Terpenting masa kini iaitu modal orang (sosial) dan modal material (kewangan).  

    Apabila tiga modal pertama (WIS) dijambatani oleh ‘disiplin’ menghubungi (OM), maka wujud wisdom. Senjata utama dalam Sanggar Bisnes ini.
    Di mana orang berhimpun, di situ wang berkumpul. Di mana sampul penghantaran boleh dihantar, di situ bisnes boleh tersebar. Inilah dunia masa kini secara mudahnya.
    Apakah Ekonomi Digital? Don Tapscot, 70, seorang eksekutif perniagaan dari Kanada, pakar dalam strategi perniagaan, transformasi organisasi dan peranan teknologi dalam perniagaan telah menulis buku Digital Economy pada tahun 1995.

    Beliau menulis buku itu semasa usia beliau baru 48 tahun. Sebelum itu pada tahun 1982, beliau menulis buku Office Automation. Tiga puluh empat tahun selepas buku pertama itu, Don Tapscott menulis buku yang ke-23 bersama anaknya Alex Tapscott yang berusia 30 tahun. Buku itu diberi judul Blackchain Revolution.
    Beliau telah membina kepustakaan ilmu dalam bahasa Inggeris hasil tekunan gigih satu tajuk penting iaitu Ekonomi Digital.

    Rata-rata daripada CEO berjaya membaca 60 buah buku setahun. Mereka perlu tahu untuk berdaya maju dalam ekonomi berasaskan ilmu. Dunia bergerak laju dan mereka yang tidak tahu akan terpinga-pinga melihat peluang terus berlalu.
    Ada satu lagi buku yang ditulis oleh Tsugio Makimoto dan David Manners. Tsugio Makimoto ialah Penasihat Korporat dan Ketua Pegawai Teknologi di Sony Corporation.
    Dalam dunia digital ekonomi, ramai yang berkerjaya mengamalkan cara hidup digital nomad - hidup tanpa mengenal masa dan tempat, hidup dan berniaga berbekalkan hanya telefon bimbit dan laptop.

    Kemunculan ‘Digital Nomad’ diperkuatkan dengan pengguna telefon pintar di seluruh dunia yang dijangka mencapai jumlah  4.77 bilion pada tahun ini. Bayangkan kecepatan penggunaan teknologi, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Inilah era kita memerlukanEntreLeadership - kepimpinan keusahawanan. Tiada magik. Tiada misteri. Memegang tali untuk memegang timba. Menguasai ekonomi untuk kekal berkuasa.

    * Datuk Roslan Ab Hamid ialah Presiden dan Ketua Strategi Paul Penders International.
    Beliau boleh dihubungi di FB: Roslan Ab Hamid

    Sinar Harian

    Ulasan