Seramai 1,500 PKS disenaraikan dalam platform Alibaba.com



Sebanyak 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dikenal pasti untuk disenaraikan dalam platform e-dagang yang terkenal, AliBaba.com. menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, pemilihan bermula pada 1 Oktober ini meliputi PKS di seluruh negara yang layak dan produk yang pelbagai.
Proses pemilihan akan dibuat oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu PKS 2017 peringkat kebangsaan yang bermula pada 4 Mei hingga 26 Mei di sini, hari ini.
Katanya, penyenaraian di dalam AliBaba.com akan menggunakan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) sebagai platform pemasaran mereka.
“Kita yakin pelaburan Ali Baba akan menjadi pemangkin yang cukup penting untuk melonjakkan pencapaian PKS negara dalam usaha menembusi pasaran luar,” katanya.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengerusi SME Corp Malaysia Tan Sri Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia Datuk Dr Hafsah Hashim.
Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan dalam peringkat akhir merangka akta untuk memperkasakan PKS yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang.
Beliau berkata, akta tersebut akan membangunkan PKS dengan lebih teratur, terutamanya dalam pengumpulan data.
“Pengumpulan data merupakan perkara yang penting. Kita akan beri tumpuan kepada usaha-usaha melalui Jabatan Perangkaan untuk data yang mencukupi,” katanya.
Terdahulu, Mustapa melancarkan Hab PKS Bergerak yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memudahkan rakyat berurusan dengan SME Corp.
Bertemakan “Mula Berdikit, Azam Melangit”, Minggu PKS dianjurkan oleh SME Corp secara tahunan sejak 2012. Ia bertujuan menarik minat usahawan dan orang ramai untuk menyertai dan meraih manfaat daripada bantuan dan sokongan perniagaan melalui pelbagai agensi. 
 | BERNAMA

Ulasan