KPDNKK tumpas skim piramid, beku akaun RM177 juta


PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya menumpaskan sindiket skim piramid, Mface Club yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata kejayaan menerusi Ops Token pada 29 Mei lalu itu dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Pejabat Peguam Negara. Tambah beliau, operasi bersepadu itu menyaksikan enam serbuan dilakukan di lima buah rumah kediaman sekitar Lembah Klang dan M Mall di Pulau Pinang.

"Melalui operasi ini juga, sebanyak 91 akaun berjumlah RM177 juta dibekukan atas kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Seksyen Konsumerisme KPDNKK, Khalid Tik; Ketua Seksyen Pengubahan Wang Haram KPDNKK, Mohd Khairi Jamaludin dan Penolong Pengarah Kanan Seksyen Konsumerisme KPDNKK, Ridzuan Khamis. Dalam serbuan yang dilakukan di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 itu, KPDNKK turut merampas barangan seperti jongkong emas, beg tangan, pen, jam tangan dan batu jed sebagai bahan bukti.

Mohd Roslan berkata, setakat ini pihaknya belum lagi membuat tangkapan terhadap individu terbabit, namun sudah pun mempunyai dokumen serta bahan bukti bagi mendakwa mereka di mahkamah.

Katanya, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan sama ada barangan yang dirampas tulen atau tiruan. "Penguatkuasaan secara bersepadu ini menyasarkan tindakan lebih menyeluruh, bukan hanya terhadap pengendali, malah turut membabitkan penganjur dan pelabur dalam skim ini," katanya.

www.bharian.com.my/node/288352

Ulasan