Majlis Pakatan Rakyat Sabah desak Kerajaan Umno BN beri penjelasan pencerobohan di Lahad Datu.

Terlebih dahulu , Majlis Pakatan Rakyat (PR) Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga perwira negara serta berdoa semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan kami berdoa agar mereka yang tercedera cepat sembuh.

Hari ini pada 12 Mac 2013, Majlis Pakatan Rakyat Sabah telah mengadakan mesyuarat khas membincangkan tragedi pencerobohan di Lahad Datu.
Justeru itu, selepas mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Sabah, kami telah membuat keputusan secara sebulat suara dan menuntut seperti berikut.

Majlis Pakatan Rakyat Sabah
1. Meminta Kerajaan Pusat memberikan penjelasan kenapa kumpulan penceroboh dapat membolosi sistem pertahanan negara dengan begitu mudah di Sabah.

2. Mendesak Datuk Musa Aman selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri membentangkan kertas putih dalam Sidang Dewan Undangan Negeri secepat mungkin. Majlis Pakatan Rakyat Sabah menyokong tindakan Adun Sri Tanjung, Jimmy Wong Sze Phin yang meminta sidang dewan undangan negeri khas diadakan dengan segera.

3. Menyokong keputusan Pakatan Rakyat Pusat untuk mendesak sidang khas Parlimen dijalankan bagi membincangkan isu pencerobohan ini.

4. Mendesak diadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan kerajaan negeri dengan pimpinan pembangkang dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.

5. Meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan agenda sebenar pertemuan beliau dengan pihak-pihak yang mendakwa mereka adalah ‘sultan sulu’ atau wakil-wakil mereka yang dijemput ke perhimpunan agung UMNO dan majlis-majlis lain.

6. Meminta kerajaan pusat dan negeri untuk menjelaskan kepada rakyat Sabah status tuntutan kesultanan di atas sebahagian negeri Sabah dan kenapa bayaran tahunan masih diteruskan.

7. Mendesak supaya Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien selaku Menteri Dalam Negeri dan Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan dan Datuk Musa Aman selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri untuk meletak jawatan di atas kegagalan mereka menghalang dan menangani tragedi ini sehingga menyebabkan nyawa perwira Negara terkorban, kerosakan harta benda dan ekonomi terjejas.

8. Menafikan tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dalang di sebalik pencerobohan di Lahad Datu.

Ahmad Thamrin Jaini
Pengerusi KEADILAN Sabah
Pengerusi Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Sabah
Jimmy Wong
Pengerusi DAP Sabah
Datuk Seri Panglima Lajim Ukin
Presiden Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS)
Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing
Presiden Angkatan Perubahan Sabah (APS)
Aminudin Aling
Pesuruhjaya PAS Sabah

Sumber : SINI
 

[Klik Start Jika Nak Dengar Radio]
Eksklusif Bersama Radio CiliFM
Buat Permintaan Lagu Klik SINI

Ulasan