KUALA LUMPUR, 13 Januari: Mulai Mac ini pemilik kereta berusia 
lebih 10 tahun dijangka boleh mendapatkan rebat sehingga RM5,000 untuk 
membeli kereta baharu, menerusi skim terbaharu yang dijangka 
diperkenalkan tahun ini.
Malah, skim tukar-beli atau ‘trade-in’
 yang dinamakan ‘Skim Insentif Pengguna’ itu membolehkan pengguna 
membeli sebarang jenama kereta daripada syarikat pengeluar peralatan 
tulen (OEM) tempatan, meskipun kereta yang mahu dilupuskan itu berlainan
 jenama. 
Utusan Online yang memetik 
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad 
Madani Sahari, melaporkan perbincangan bagi menjayakan skim itu sedang 
berada di peringkat akhir dan berpotensi untuk dilaksanakan seawal Mac 
ini.
Mohamad Madani dipetik berkata, selain 
membabitkan kereta berusia lebih 10 tahun, skim itu juga dijangka 
terbuka kepada pemilik-pemilik kereta yang terbabit dalam bencana banjir
 yang berlaku di beberapa buah negeri di Pantai Timur ketika ini.
“Skop untuk mangsa banjir (pemilik kereta) ini baharu sahaja dibincangkan untuk menjadi sebahagian daripada skim ini.
“Apapun, skim ini masih perlu mendapat 
kelulusan kerajaan dan juga pengeluar kereta yang akan menilai prospek 
pelaksanaan skim tersebut.
“Ketika ini, kedua-dua pihak memberikan 
respon yang baik, dan kepada pengguna, skim ini bukan merupakan 
paksaan,” katanya kepada pemberita selepas Kajian dan Prospek Industri 
Automotif Malaysia 2014/2015 di sini hari ini.
Tambah Mohamad Madani, skim pelupusan 
kereta itu pernah diperkenalkan pada 2009 namun hanya membabitkan kereta
 jenama Proton dan Perodua sahaja.
Namun pelaksanaan kali ini lebih terbuka meliputi semua jenama kereta yang berminat untuk menyertai skim tersebut, jelas beliau.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi anggaran jumlah kenderaan berusia lebih 10 tahun yang berada di jalan raya negara ini.
“Jika dilaksanakan, kami menjangka jualan keseluruhan kenderaan baharu (TIV) tahun ini mencecah sehingga 750,000 buah.
“Pada anggaran kami, ia boleh mencecah 
sehingga 770,000 buah tetapi disebabkan skim pelupusan ini hanya 
dilaksanakan pada Mac, kami membuat sasaran yang lebih rendah,” katanya.
Jelas beliau, komponen kereta-kereta 
yang dilupuskan akan diperbaiki semula dan mana-mana komponen yang masih
 boleh digunakan akan diperbaharui untuk dijadikan alat ganti baharu 
dengan jaminan.
“Skim ini telah dibincangkan sebelum bencana banjir.
“Namun, setelah mendapati banyak kereta 
yang terjejas teruk akibat kejadian ini, kami mendapati skop ini boleh 
dimasukkan sekali dalam Skim Insentif Pengguna memandangkan 
mangsa-mangsa banjir mungkin mengalami kerosakan kereta yang teruk,” 
katanya.
The Rakyat Post
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..