Langkau ke kandungan utama

Jual beli emas online

Jual beli emas online
Gambar hiasan
    JIKA dahulu, masuk sahaja Ramadan, kedai emas akan mula dikunjungi pengunjung bagi mendapatkan koleksi barangan kemas baharu untuk digayakan pada hari raya.
    Namun situasi itu berubah pada tahun ini kerana rata-rata peniaga emas merungut kurangnya pembeli.

    Mereka juga mengakui prestasi jualan emas sejak awal tahun ini dikatakan merudum berbanding empat tahun lalu berikutan pengenalan dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

    Ditambah lagi dengan keadaan ekonomi semasa negara yang tidak menentu menyebabkan krisis kewangan bertambah, sekali gus meningkatkan bebanan perbelanjaan rakyat.
    Rentetan itu, harga barangan menjadi mahal dan memberikan kesan kepada jualan bukan sahaja emas semata-mata tetapi juga barangan lain.

    Dalam industri emas misalnya, prestasi di kedai emas khususnya mendapat kesan yang ketara daripada segi jualan, yang mana rata-rata peniaga emas mengakui terdapat perbezaan ketara dalam jualan tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

    Harga emas di kedai juga dikatakan jauh lebih mahal kerana pelanggan perlu membayar GST dan upah.
    Walaupun jualan menurun, tidak bermakna jumlah pembeli semakin berkurangan kerana perniagaan emas atas talian (online) semakin meningkat berikutan permintaan dan trend perniagaan online yang mendapat tempat di kalangan pengguna.

    Peniaga online mengakui jualan emas online tidak mendapat kesan yang ketara walaupun ekonomi tidak menentu kerana masih terdapat pembeli dan prestasi jualan stabil.
    Atas dorongan itu, tidak dinafikan bahawa terdapat peningkatan peniaga emas online seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan sejak kebelakangan ini.
    Ini mungkin disebabkan oleh trend pembelian pengguna yang memilih perniagaan online kerana fleksibel dan dikatakan lebih murah.

    Selain GST, ada sesetengah pihak mendakwa, kos sara hidup yang tinggi menyebabkan orang ramai mula berjimat dan berhati-hati dalam berbelanja.

    Jualan menurun berbanding tahun lalu

    Prestasi jualan emas tahun ini merudum ketara jika dibandingkan pada 2016
    Peniaga emas online, Marina Mohammad, jualan tahun lalu adalah sangat menggalakkan dan dia menerima tempahan yang banyak daripada pelanggan.

    "Saya lihat sejak awal sehingga pertengahan tahun ini, terdapat sedikit penurunan jualan emas. Setiap bulan jualan menurun. Tahun lalu, jualan sangat meriah.
    "Mungkin kerana faktor kewangan pembeli berikutan kos sara hidup yang meningkat," katanya kepada Sinar Harian.

    Walaupun jualan emas dikatakan merudum tetapi dia masih mampu meraih pendapatan kerana ada pelanggan yang mahu membelinya.
    Menurutnya, dia tidak pasti punca kemerosotan jualan tetapi tidak menolak kemungkinan disebabkan oleh pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), persaingan jualan atas talian yang banyak atau minat terhadap emas berkurangan.

    Mengulas berhubung GST, Marina berkata, jualan emas online juga mempunyai GST tetapi sudah termasuk di dalam harga emas yang dijual dalam setiap gram.
    "Rata-rata peniaga online tidak akan menyebut tentang GST kerana telah dimasukkan di dalam harga emas.

    "Kami membeli emas daripada pembekal dan kami telah dikenakan GST, sebab itu peniaga online tidak minta pelanggan bayar GST," katanya.
    Menurutnya, membeli emas secara online masih murah jika dibandingkan dengan kedai.
    Katanya, ini mungkin kerana peniaga online tidak perlu menampung kos sewa kedai dan membayar gaji pekerja.

    Marina berkata, walaupun emas dijual mengikut harga pasaran sebanyak RM189 bagi satu gram (ketika artikel ini ditulis) tidak termasuk upah tetapi ia masih murah.
    Harga upah pula, katanya, bergantung kepada reka bentuk barangan kemas itu, yang mana masih di bawah RM50.

    Sinar Harian Online

    Ulasan