Penjual keropok sasar pasaran China dan Arab Saudi

Keropok lekor sejuk beku keluaran Hamie Industries.
Syarikat pembekal pelbagai jenis keropok, Hamie Industries Sdn Bhd (Hamie), kini merancang pelbagai strategi untuk memasarkan produk keluarannya ke China dan Arab Saudi.
Pengarah Urusannya  Hawa Abdul Rahman, 56, berkata, keyakinan untuk mempromosi produknya di kedua-dua negara itu dibuat berikutan sambutan positif yang diterima di Naning, China baru-baru ini.
"Banyak manapun kita bawa keropok ke Naning, ia tetap tidak cukup kerana mereka amat menggemarinya, terutama produk kita ada tanda halal yang keluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Pada mereka, tanda halal ini bermakna bersih daripada bahan kimia, tidak melibatkan bahan besi dan sebagainya. Berbeza dengan kita apabila halal bebas daripada babi dan anjing," katanya ketika ditemui Bernama di kilangnya di kawasan perindustrian Bukit Kor di Marang.
Hawa berkata beliau juga turut berminat untuk memasarkan produknya ke pasaran Asia Barat kerana negara-negara berkenaan memerlukan makanan halal.
Beliau berkata produk syarikatnya dijual di sekitar Pantai Timur, Kuala Lumpur dan Singrapura.
Hamie yang mula beroperasi pada 1994 dan mempunyai 20 pekerja, kini mendapat nafas baharu apabila mendapat tempahan 350,000 peket keropok sebulan yang berharga RM1 sebungkus, daripada syarikat minyak Shell Pantai Timur untuk ditempatkan di seratus premis perniagaannya.
"Kita juga sedang berunding dengan sebuah lagi syarikat minyak, dan Insya-Allah ia akan membuahkan hasil untuk Hamie meneruskan perniagaanya dengan lebih yakin lagi," katanya.
Hawa berkata setakat ini mereka hanya mampu mengeluarkan kira-kira 4,000 peket sehari,  dan lebih 10,000 bungkusan sehari apabila menerima mesin pembungkusan baharu tidak lama lagi.
Menceritakan pengalamannya membina perniagaan itu, Hawa berkata beliau memulakan perniagaan membuat keropok dari sebuah unit sewaan di  bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di kawasan perindustrian Chendering.
Bermula dari situ, syarikatnya berkembang sehinggalah mampu menyewa bangunan Mara di kawasan perindustrian Bukit Kor yang dijadikan sebagai kilang pengeluaran dan pejabat.
"Hamie yang sering mendapat bimbingan dan tunjuk ajar,  terutama Yayasan Pembangunan Usahawan, Mara, Tekun Nasional, selain banyak menerima pendedahan dan pengalaman apabila dibawa melawat Korea, Australia, Naning (China), Singapura dan sebagainya," katanya.
Antara produk berasaskan ikan keluaran Hamie ialah keropok lekor, keropok keping biasa, keropok keping berperisa lada hitam, keropok segera, dumpling satar dan juga sos pencicah.
Selain kilang keropok, Hamie Industries turut mempunyai chalet di Pulau Peranginan Pulau Kapas yang sering mendapat sambutan, terutama di musim cuti.
www.malaysiadateline.com

Ulasan