Mula perniagaan dari rumah

Mula perniagaan dari rumah



MEMULAKAN perniagaan dari rumah, Uniq Manufacturing Sdn Bhd (Uniq Manufacturing) kini semakin berkembang apabila mempunyai kilang sendiri di Puchong, Selangor sejak April tahun lalu.

Uniq Manufacturing merupakan pengeluar produk nyah bau, pengusir serangga dan binatang serta bahan pencuci, 100 peratus milik Bumiputera yang membantu menyelesaikan masalah isi rumah dan pihak industri menerusi jenama Gramp’s.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Reza Fikry Nor Rezan berkata, sejak ditubuhkan pada 2006, Uniq Manufacturing mempunyai 22 unit menyimpan stok (SKU) jenama Gramp’s antaranya pengusir nyamuk, tikus dan cicak, produk nyah bau Lavender Odorizer, cecair pencuci pinggan mangkuk dan lantai.

“Pada awal perniagaan, kami menggunakan jenama Uniq, sebelum menukar kepada Uniq Nature Quality pada 2010.
Kemudian tahun lalu, kami menjenamakan semula kepada jenama Gramp’s bagi mengkomersialkan secara besar-besaran dan berhasrat untuk ke peringkat global.
“Nama Gramp’s merupakan singkatan bagi nama panggilan datuk (Grandpa) memandangkan produk Gramp’s wujud apabila seorang datuk, yang juga ayah saya (Nor Rezan Mohamad Nor) untuk merawat cucunya yang terkena gigitan nyamuk,” katanya.
Mohamad Reza Fikry berkata, semua produk jenama Gramp’s menggunakan herba dan rempah ratus sebagai bahan utama.

“Menariknya, produk Gramp’s selamat digunakan walaupun pada bayi, malah ada sesetengah produk seperti pengusir serangga boleh diguna pada kulit atau pakaian bayi.
“Selain itu, produk kami juga selamat untuk binatang peliharaan, mesra alam, tidak melukakan kulit dan bebas toksin,” katanya.
Beliau berkata, produk Gramp’s dijual di premis perniagaan di Shah Alam dan Sungai Buloh, Selangor, Ipoh, Perak serta sebuah kios yang dimiliki stokis di IOI City Mall Putrajaya.

“Ia juga boleh didapati daripada 50 ejen dan stokis Gramp’s di seluruh negara dengan harga bermula RM10 hingga RM35,” katanya.
Pada masa akan datang, Mohamad Reza Fikry berkata, Uniq Manufacturing berhasrat untuk meneroka pasaran luar negara, bagi meluaskan rangkaian perniagaannya.
“Setakat ini, kami baru menghantar pek percubaan produk Gramp’s di Kuwait dan sedang menanti respons daripada mereka.

“Kami juga dalam proses dapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kelulusan Sirim,” katanya.

Sinar Harian Online

Ulasan