TV Selangor dan Pemimpin Pakatan Rakyat mengucapkan Selamat Hari Deepavali

TV Selangor dan Pemimpin Pakatan Rakyat mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada kesemua rakyat Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang

Hari Deepavali disambut sebagai pesta cahaya, menzahirkan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan. Kemenangan kebaikan, tidak dapat tidak berteraskan amalan berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran. Bait dari Thirukural ada menyebut;

"Sesungguhnya dengan amalan kebaikan maka hadirlah kemuliaan, sesungguhnya kejahatan itu menjelma apabila kita melupakan amalan kebaikan."

Hikmah dari bait itu mengungkap fitrah pertembungan cahaya dan kegelapan. Oleh kerana itu, setiap kali kita mendekati kezaliman dan melakukan perbuatan jahat maka semakin malaplah kemuliaan, keadilan serta karamah insaniah.

Justeru saya menyeru agar semua rakyat Malaysia turut serta bersama menegakkan keadilan yang merupakan kelangsungan dari fitrah manusia yang mahukan kebenaran dan menolak kebatilan.

Sempena sambutan Deepavali tahun ini saya ucapkan Deepavali Nal Vathukal

Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP

Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu di Malaysia.

Sempena perayaan Deepavali ini, marilah kita semarakkan cahaya kasih sayang, keadilan dan kesederhanaan untuk mengatasi sifat kebencian, fahaman melampau dan sikap tidak bertoleransi yang diamalkan selama ini bagi mewujudkan masyarakat majmuk Malaysia yang bersatu padu, adil dan makmur.

Perayaan Deepavali adalah meraikan kemenangan untuk mengatasi kejahatan dan cahaya ke atas kegelapan.

Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 akan berlangsung tidak lama lagi, semua rakyat Malaysia diseru untuk menyertai dan bersatu bersama masyarakat kaum India bagi meraikan majlis penuh bermakna ini dengan hasrat :

Semarakkan cahaya kasih sayang, keadilan dan kesederhanaan untuk mengatasi sifat kebencian, fahaman melampau dan sikap tidak bertoleransi bagi mewujudkan masyarakat majmuk Malaysia yang bersatu padu, adil dan makmur.

Baru-baru ini, badan politik Malaysia telah diracun dengan limpahan kebencian, fahaman melampau dan sikap tidak bertoleransi.

Semua rakyat Malaysia yang bijak dan muhibah, tanpa mengira bangsa atau kepercayaan, mestilah bersatu untuk menuntut negara kita bebas dari kongkongan kebencian melampau dan sikap tidak bertolak ansur bagi membina sebuah negara yang dimiliki sepenuhnya rakyat Malaysia yang boleh dibanggakan.TVSNEWS




Ulasan