Kuliyyah Al-Azhar Malaysia guna kepakaran Mesir

PETALING JAYA – Kuliyyah Al-Azhar Malaysia tawar pengajian dikendalikan sepenuhnya tenaga pengajar daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Yang Dipertua Yayasan Sofa, Dr Yusri Mohamad berkata, ia sebuah fakulti khas di bawah Universiti As-Sofa yang baru ditubuhkan dengan menawarkan program-program pengajian secara kerjasama dengan universiti terkemuka dari Mesir itu.

“Pengisian akademiknya akan dikendalikan sepenuhnya oleh dekan dan tenaga pengajar daripada universiti yang dibawa khas dari Mesir.

“Bidang pengajian awal ditawarkan ialah Usuluddin dan Syariah dan kemudiannya disusuli Bahasa Arab dan Pengajian al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, medium pengajaran adalah sepenuhnya dalam Bahasa Arab dan syarat kelayakan utama adalah kelulusan dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia termasuk syarat-syarat lain bersesuaian dengan jurusan yang dipilih.

Selain itu katanya, pelajar juga tidak perlu ke Mesir sebaliknya menamatkan tempoh pengajian sepenuhnya di negara ini kerana ijazah bagi graduan Kuliyyah akan dikeluarkan secara bersama oleh Universiti Al-Azhar dan Universiti As-Sofa.SinarHarian


Ulasan