Bajet Pakatan bukan untuk 'pancing undi'
Pakatan Rakyat semalam mempertahankan bajet bayangannya dan menolak dakwaan bahawa ia menawarkan pelbagai bonus sebagai memancing undi pada pilihan raya umum akan datang.
Bercakap pada forum mengenai bajet bayangan di Shah Alam, ketua strategi PKR Rafizi Ramli berkata pelbagai bonus dan kenaikan gaji yang diumumkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah selaras dengan dasar Pakatan dan bukannya sebagai umpan ‘gula-gula”.
"Pakatan melihat ini melalui rangka kerja dasar. Sebagai contoh, elaun RM500 untuk guru dilihat sebagai satu cara untuk meningkatkan taraf pengajaran dan merupakan satu pelaburan untuk pendidikan," katanya kepada kira-kira 150 hadirin.
Beliau berkata perkara sama juga dengan peruntukan RM5.7 bilion bagi menaikkan skala gaji kakitangan awam.
"Ini adalah kerana kita mahu melaksanakan gaji minimum bagi semua rakyat, dan bukan hanya untuk pekerja swasta," katanya.
Rafizi yang merupakan sebahagian daripada jawatankuasa yang bertanggungjawab merangka bajet bayangan itu berkata bahawa sebenarnya adalah "mudah" bagi Pakatan Rakyat untuk mencari wang untuk membayar pelbagai bonus yang dijanjikan kerana belanjawan mereka lebih kecil daripada bajet kerajaan BN bagi tahun 2011 iaitu sebanyak RM227 bilion.
Selain itu, menurut Rafizi, defisit 4.4 peratus di dalam bajet Pakatan jauh lebih rendah daripada apa yang bakal ditawarkan oleh kerajaan persekutuan.
"Kalau BN hanya mampu mengumumkan belanjawan RM14 - 15 billion lebih tinggi daripada angka yang dikemukan oleh kita, adalah tidak munasabah bagi BN untuk mempersoalkan sama ada kita mampu atau tidak lunaskan janji RM220 billion ini, kerana sudah tentu kita mampu, belanjawan kita lebih baik."
Merujuk kepada rekod belanjawan BN selama ini, Rafizi meramalkan Najib tidak mampu mengurangkan kadar defisit lebih rendah daripada 4.4 peratus.
Hadir sama, ahli parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.MalaysiaKini
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..