Isu IC : Jawapan Polis Tidak Masuk Akal...!!!!!!!!!!!!

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diminta menjawab isu enam bas yang dikatakan membawa warga asing dari Johor untuk menghadiri proses pemberian Mykad di sebuah resort berhampiran Putrajaya semalam.

Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberikan jawapan konkrit jika insiden itu benar-benar berlaku.

“Pas percaya ada proses pemberian Mykad di situ. Perkara itu amat mencurigakan dan menguatkan lagi keraguan kita bahawa ada sindiket terancang yang cuba memberi kerakyatan kepada warga asing, seterusnya didaftarkan sebagai pengundi pada pilihan raya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, pasukan perisik Pemuda Pas berada di kawasan berkenaan dan mendapati lebih 200 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh dibawa ke situ.

Salahudin berkata, KDN perlu menjawab isu ini dengan segera kerana perkara ini sangat penting.

“Kita tuntut penjelasan KDN. Apa sebenarnya yang berlaku di resort ini, kenapa ada enam bas dari Johor membawa warga asing? Tujuannya apa? Jelaskan juga mengapa ada pergerakan daripada pegawai kerajaan se-perti polis dan Jabatan Kesihatan yang mencurigakan di situ,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda Pas, Mohd Adram Musa berkata, mereka menyedari perbuatan berkenaan sejak kelmarin.

“Jam 7 pagi, kita dapati ada enam bas berhampiran Masjid Putra dan mereka kemudian dibawa ke sebuah resort di pinggir Putrajaya setelah menyedari kehadiran kami.

“Apabila masuk ke kawasan itu, saya dapati mereka warga asing dan mengatakan hadir ke situ untuk mendapat Mykad. Bagaimanapun ia bercanggah dengan ketua rombongan yang memberitahu warga asing ini dibawa untuk kursus keusahawanan,” katanya.

Adram berkata, lebih banyak soalan diberikan lebih banyak jawapan yang bercanggah diterima.:

Jawapan Polis..

Polis nafi dakwaan Pemuda Pas

SHAH ALAM - Polis menafikan dakwaan Pemuda Pas yang mengatakan 240 warga asing yang menaiki sepuluh buah bas dari Johor kelmarin, dibawa ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk men-dapat taraf warganegara yang membolehkan mereka mengundi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata, selepas pihaknya menjalankan siasatan dapati perkara itu tidak benar seperti yang dilaporkan.

“Maklumat yang kita peroleh menunjukkan semua warga asing itu berada di Desa Pinggiran Putra untuk menghadiri kursus keusahawanan.

“Mereka (warga asing) bukan dibawa untuk pergi ke JPN seperti yang didakwa oleh pihak terbabit,” katanya.SinarHarian

Ulasan