‘Perkuburan 1Malaysia’ ada di kawasan Najib?

Written by Harakahdaily  
Sabtu, 14 Apr 2012 23:22
 

KUALA LUMPUR, 14 April: Penulis blog, Anak Sungai Derhaka menyebut gara-gara taksub dengan konsep ‘1Malaysia" yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, akhirnya agama Islam itu sendiri menjadi carca merba.


Sehubungan itu, beliau di dalam blognya, http://darisungaiderhaka.blogspot.com membongkarkan berita panas yang untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia kenapa perlu mereka menolak Umno BN pada Pilihan raya Umum akan datang.

Tulisnya, jika rakyat terus membiarkan mereka berkuasa, maka akhirnya agama akan terus diperkotakkatikkan sesuka hati oleh mereka yang berkuasa.

“Terbaru, kami berjaya membongkarkan sebuah kawasan tanah perkuburan ‘1Malaysia’ di Parlimen Pekan iaitu kawasan Najib itu sendiri.

“Sungguh mengejutkan apabila tanah perkuburan di Tanjung Agas itu menempatkan kubur Islam, Budha dan Kristian dalam satu kawasan tanah perkuburan, tanpa ada perasaan bersalah oleh pihak terbabit,” tulis beliau.

Menurutnya, selama ini ramai di kalangan mereka yang lalu lalang di sekitar kawasan terbabit tidak perasan dengan lokasi berkenaan.

Memang, katanya banyak kawasan seperti itu terdapat di sepanjang jalan dari Pekan ke Rompin, namun difahamkan ia melibatkan kubur Orang Asli.

“Namun, apa yang berlaku di Tanjung Agas ini agak menakjubkan, kerana ia bukan tanah perkuburan orang Asli tetapi juga menempatkan kubur orang Islam biasa.

“Soalnya sekarang, apakah Najib sedar dengan apa yang berlaku ini?” soalnya.

Justeru, katanya tidak timbul persoalan mereka iaitu orang Islam itu adalah Orang Asli atau tidak.


Apa yang penting mereka telah memeluk agama Islam, malah terdapat nama pada batu nisah tertera "Kechik Binti Muda" (kiri) yang letak bersebelahan dengan jirat Cina (bukan Islam).

Malah, tulisnya lagi terdapat juga kubur-kubur orang Kristian lain di kawasan terbabit.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa kawasan Tanjung Agas itu kini majoritinya didiami oleh warga Kemboja yang diimport sebagai ‘pengundi tetap’ Najib di Parlimen Pekan.

Makanya, ujar beliau kemungkinan besar kubur Islam yang terdapat di situ ialah adalah orang Melayu Islam Kemboja.

“Anehnya, kenapa perkara ini terjadi?" tanya beliau.

Beliau juga mempersoalkan ke mana perginya Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang  yang sepatutnya memantau kegiatan seperti itu.

Baginya, ternyata apa yang berlaku itu sungguh memalukan dan amatlah mengecewakan umat Islam sebenarnya, tambahan pula ia terjadi dalam kawasan PM, Najib Razak.

Ulasan