(Tg Nik Aziz bersama para pemimpin Pakatan di Johor)
PULAI: Untuk mentadbir negeri atau negara tidak memerlukan peruntukkan dan modal yang besar semata-mata, sebaliknya akal fikiran yang lebih berharga dari wang ringgit.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sewaktu mula menerajui pentadbiran Kelantan, Umno mendakwa kepimpinannya hanya bertahan tiga bulan sahaja.
“Memang betul jika diukur dari segi kewangan, sebab Angkatan (Angkatan Perpaduan Ummah) menang ketika tabung kewangan begitu kecil, tetapi untuk mentadbir negeri atau negara tidak memerlukan wang yang banyak, sebaliknya akal.
“Kalau mentadbir negara tidak guna akal sebaiknya, wang yang banyak tidak ada gunanya, alhamdulillah kita menang di Kelantan hampir 23 tahun lamanya,”ujarnya lagi.
(TG Nik Aziz memberikan ucapan di Pulai)
Tuan Guru berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi Tea Bersama Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pemimpin Pakatan Rakyat (Johor), semalam.
Pada masa yang sama beliau berkata perjuangan Pakatan Rakyat (PR) bukan hanya untuk membela satu kaum iaitu Melayu sahaja, sebaliknya bangsa lain Cina, India dan sebagainya akan diperjuangkan bersama.
Katanya, semua bangsa perlu memerlukan antara satu sama lain.
Ia seumpama satu anggota pada sebuah badan sekiranya tidak cukup ianya akan menjadi cacat.
“Saya bersyukur masyarakat Cina dan India kini sudah boleh menerima perjuangan PAS,”ujarnya.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata orang Cina merupakan satu bangsa yang sejak awal bertamadun.
Kerana itu mereka bijak serta mampu berfikir khususnya dalam politik.
Jelasnya, kerana rekod perjuangan PAS di samping kerajaan yang ditadbir PR tiada rekod penyelewengan, membuatkan mereka semakin yakin dengan Pakatan Rakyat.
Pada masa yang sama Salahuddin turut mengumumkan calon yang bakal dicalonkan pada PRU-13 ini merupakan pemimpin PR yang tiada rekod penyelewengan.
Sama ada di Selangor, Kelantan, Kedah atau Pulau Pinang, keterampilan calon yang berwibawa menjadi pilihan pimpinan untuk mencalonkan mereka.
Katanya, ianya untuk memastikan Johor mendapat perubahan yang sebaiknya sebagaimana di negeri-negeri lain.
“Kerana itu saya sanggup meninggalkan kerusi yang selamat sebelum ini Parlimen Kubang Kerian untuk berpindah ke Johor demi untuk masyarakat negeri ini yang lebih baik,”ujarnya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Penerangan PAS Johor, Haji Ghazali Ayob dan Pengerusi DAP negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau./HarakahDaily
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..