Kedudukan Muktamar, AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama



Ada yang masih keliru berhubung tiga institusi utama dalam PAS, iaitu Muktamar, AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama’ dan mana di antara mereka adalah yang ‘tertinggi’. Sebenarnya soalan ini amat penting untuk dijawab dan difahami, khususnya semua ahli PAS dan pimpinannya. Saya pernah memetik ‘Kertas Mesyuarat 7/2005 Peranan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat’ dan mengulas ringkas mengenai perkara tersebut di dalam blog saya ini sekitar September 2013.

Struktur organisasi PAS mengadakan 3 institusi ini untuk menentukan dasar dan matlamat PAS akan sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama ianya menjamin kelancaran perlaksanaan agenda perjuangan selagi mana fungsi setiap institusi PAS ini difahami dan berjalan sepertimana yang sepatutnya. Dalam soal perjalanan parti, ketiga-tiga institusi ini berfungsi dalam suasana di mana Islam adalah dasar perjuangan dan hukum tertinggi adalah Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias. Ini merupakan asas yang diterima oleh setiap ahli PAS sepertimana termaktub dalam perlembagaan PAS.


 MUKTAMAR: BADAN PENGGUBAL DASAR

Muktamar adalah medan utama ahli PAS melibatkan diri mereka dalam perjalanan parti. Ianya merupakan syura terbesar PAS yang melibatkan semua kawasan, dewan, AJK PAS Pusat dan MSU. Di dalam muktamar, usul dikemukakan dan diterima untuk perlaksanaan pimpinan PAS. Pada masa yang sama Ucapan Dasar Presiden yang melakarkan hala tuju serta matlamat jangka masa pendek dan panjang dibahas dan diterima. Muktamar juga menentukan dasar dan hala-tuju parti yang perlu dilaksanakan oleh AJK PAS Pusat. Pada masa yang sama, Muktamar memilih AJK PAS Pusat setiap dua tahun ianya bersidang. Mereka dipilih untuk memimpin parti dalam melaksanakan apa yang telah dipersetujui bersama dalam muktamar.

 Maka Muktamar sebagai badan syura terbesar yang mewakili ahli PAS keseluruhannya adalah badan yang menentukan hala-tuju, dasar dan kepimpinan untuk tempoh setiap 2 tahun. Muktamar tahunan selepas setiap pemilihan pula adalah untuk memantau dan muhasabah prestasi saff pimpinan yang telah dipilih sebelumnya sambil mempertegaskan pendirian berhubung dasar yang telah diluluskan. AJK PAS Pusat dinilai dan ditegur berhubung prestasi mereka dan sejauhmana matlamat yang ditetapkan telah dicapai. Walaupun Muktamar adalah badan tertinggi dalam aspek menentukan dasar-dasar dan hala-tuju parti serta pemilihan kepimpinan parti, setiap keputusan yang dibuat hendaklah selari dengan dasar dan matlamat parti itu sendiri, iaitu Islam dan perjuangan untuk menegakkannya. Sebarang keputusan yang bercanggah dengan dasar dan matlamat ini, sekiranya terbukti sebagai sesuatu yang bersifat qat’i adalah terbatal dengan sendirinya. Dalam soal ini, setiap ahli, kawasan, dewan dan khususnya Majlis Syura Ulama berfungsi untuk memantaunya.

 AJK PAS PUSAT: BADAN EKSEKUTIF ATAU PERLAKSANA (TANFIDZI)

AJK PAS Pusat adalah badan eksekutif atau perlaksana yang dipilih oleh muktamar untuk melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh muktamar. Ianya merupakan badan kepimpinan yang memimpin keseluruhan parti ke arah pencapaian matlamat dan hala-tuju yang telah parti sendiri persetujui melalui Muktamar.

Oleh itu, AJK PAS Pusat perlu terdiri dari anggota berbagai latar belakang ilmu sambil mahir dalam bidang pengurusan, perancangan, pentadbiran, bacaan politik dan kepimpinan itu sendiri. Melalui proses syura, mereka memutuskan kaedah dan pendekatan terbaik untuk melaksanakan tugas dan mencapai matlamat yang telah diputuskan Muktamar untuk mereka. AJK PAS Pusat adalah bagaikan badan perlaksana yang berkewajipan memimpin parti dalam perang 5 tahun sekali. Prestasi setiap seorang anggotanya, termasuk Presiden, dikaji dan diperhalusi oleh Muktamar setiap tahun dan keanggotaan mereka diteruskan atau ditukar berdasarkan prestasi tersebut setiap 2 tahun.

Di dalam Muktamar, prestasi AJK PAS Pusat akan dikaji dan dinilai dari sudut pencapaian matlamat yang telah diputuskan oleh Muktamar. Dan sekiranya prestasinya tidak memuaskan, AJK PAS Pusat, termasuk Presiden, boleh dan layak ditukar melalui proses pemilihan di Muktamar. Sepertimana jemaah kepimpinan ketenteraan, badan eksekutif ini tidak semestinya terdiri dari mereka yang ‘fakeh’ atau ulama’. Sekiranya yang pakar dalam ketenteraan atau perlaksanaan juga merupakan seorang yang fakeh, maka ianya satu kelebihan untuk dia dipilih. Namun ‘kefakehan’ bukan keperluan kerana kefakehan sampai ke tahap mujtahid adalah keperluan hanya untuk anggota MSU.

Yang menjadi pilihan bagi menganggotai AJK Pusat, dari jawatan Presiden hingga ke AJK biasa PAS Pusat adalah mereka yang mampu memimpin parti untuk menghadapi ‘perang’ politik setiap 5 tahun. Kemampuan pengurusan, perancangan, pentadbiran, bacaan politik dan kepimpinan adalah sifat yang pada kebiasaannya diutamakan. Dalam aspek perlaksanaan, termasuk perancangan dan strategi, AJK PAS Pusat adalah badan yang tertinggi. Namun seperti juga Muktamar, semua strategi dan pendekatan yang dipilih untuk perlaksanaan semestinya tidak bercanggah dengan syariat.

 MAJLIS SYURA ULAMA’ (MSU): BADAN KEHAKIMAN MSU

adalah badan kepakaran perundangan Islam yang terdiri dari mereka yang pakar dalam soal nas dan dalil. MSU berperanan untuk menentukan segala apa yang diputuskan oleh Muktamar dan yang dilaksanakan oleh AJK PAS Pusat adalah tidak bercanggah dengan syariat. Oleh kerana ianya badan yang menguruskan soal nas dan dalil secara syura, maka ahli MSU dilantik berdasarkan kefakehan mereka. Mereka mesti fakeh dan mampu menentukan hukum dari dalil dan nas. Oleh itu, dalam soal menentukan hukum terhadap sesuatu tindakan dan perancangan, MSU adalah badan tertinggi. Namun walaupun ianya tertinggi dalam soal menentukan hukum, setiap keputusan perlu dijelaskan hujjah, dalil dan nas sebaliknya.

 Dan ahli berhak meminta penjelasan berhubung pandangan dan keputusan MSU dan membahasnya. Ini adalah kerana walaupun kepakaran mereka diiktiraf, Islam bukanlah merupakan sistem ‘theocracy barat’ yang menuntut ketaatan secara mutlak dan membabi buta. Lagi pun, melalui pendedahan hujjah yang berasaskan dalil dan nas, PAS mendidik dan meningkatkan kefahaman ahli-ahlinya. Belajar melalui pengalaman perjuangan adalah pendekatan yang diamalkan oleh Allah semasa membentuk generasi Al-Quran pertama yang dipimpin Rasulullah (SAW). Maka kalau difahami peranan setiap institusi, persoalan mana yang lebih tinggi tidak timbul. Setiap institusi mempunyai fungsinya tersendiri dan di dalam bidangnya, dia adalah yang tertinggi.

 PERBANDINGAN DENGAN SISTEM DEMOKRASI LIBERAL

Keadaan struktur ini bolehlah disamakan dengan struktur dalam sistem demokrasi liberal dan konsep ‘separation of powers’ atau ‘pemisahan kuasa’. Mungkin ini adalah sebahagian daripada hikmah dan kebijaksanaan yang telah diambil Barat dari tamaddun Islam, tanpa mengambil aqeedahnya, untuk mencorakkan masyarakat mereka. Dan sekarang ini diambil kembali untuk membentuk dan mencorakkan PAS. Dalam sistem Demokrasi Liberal ada ‘badan legislature’ iaitu ‘penggubal dasar’. Ianya adalah Parlimen. Ada badan ‘executive’ atau ‘perlaksana’, iaitu kerajaan. Dan ada juga badan ‘judiciary’ atau ‘kehakiman’ iaitu mahkamah dan para hakim. Setiap badan adalah bebas dan bertindak dalam bidang kuasa masing-masing. Muktamar PAS Pusat adalah seperti ‘badan legislature’ atau ‘penggubal dasar’.

Ia seperti Parlimen yang menentukan dasar untuk dilaksana oleh kerajaan. AJK PAS Pusat pula adalah ‘badan eksekutif’ atau ‘perlaksana’. Ia seperti kerajaan yang melaksanakan dasar yang ditetapkan Parlimen atau Muktamar. Dan MSU pula adalah bagaikan badan ‘judiciary’ atau ‘kehakiman’. Hanya bezanya ialah ianya bukan menghakimi kes orang perseorangan tetapi menghakimi dan mengawal perjalanan Muktamar dan AJK PAS Pusat supaya tidak menyimpang dari dasar Islam. Sepertimana para hakim adalah golongan yang arif, begitu juga MSU adalah dari golongan ulama’ yang fakeh dalam hukum-hakam Islam dan oleh itu mampu memutuskan sesuatu persoalan berdasarkan nas dan dalil.

ADAKAH PRESIDEN PERLU SEORANG ULAMA’?

Persoalan ini juga sering ditanya. Ianya timbul atas sebab kekeliruan berhubung peranan 3 institusi utama ini dalam PAS. Saya ambil kesempatan untuk menjawabnya di sini. Berdasarkan apa yang telah diterangkan tadi, maka amat jelas bahawa Presiden dan anggota AJK PAS Pusat, tidak semestinya Ulama’. Sebagai ketua perlaksana, yang terpenting ialah Presiden merupakan seorang yang ahli dalam bidang kepimpinan, pengurusan, pentadbiran, bacaan politik dan perancangan strategik supaya akan mampu memimpin parti ke arah pencapaian matlamat yang dipersetujui bersama. Pemilihan Presiden boleh disamakan dengan pemilihan ketua angkatan tentera dalam menghadapi peperangan 5 tahun sekali.

Sudah pasti yang dipilih semestinya seorang yang pakar dalam bidang ketenteraan kerana itulah tuntutan jawatan tersebut. Begitu juga dalam soal pemilihan Presiden. Yang dipilih semestinya pakar dalam peperangan politik dan bagaimana untuk mengukuhkan sokongan dan kedudukan parti selepas setiap pertempuran di medan politik. Oleh yang demikian, kepakaran perlaksanaan yang terdapat pada Presiden dan AJK PAS Pusat, apabila diadunkan dan dipantau oleh kepakaran ulama’ yang terdapat dalam MSU, akan merupakan adunan yang mantap dan berkesan dalam membawa PAS ke arah kemenangan dunia dan akhirat.

BEZA ANTARA HUKUM DAN PERLAKSANAAN

Perlu difahami bahawa setelah sesuatu hukum ditetapkan oleh MSU, AJK PAS Pusat perlu mengambil kira waqi’ dan kebijaksanaan apa bila ingin melaksanakannya. Sebagai contoh, apabila diputuskan oleh MSU bahawa hukum menurunkan Muslimat sebagai calon pilihan raya adalah harus dengan dikenakan beberapa syarat, terpulang pada AJK PAS Pusat untuk menentukan samada ianya sesuai untuk diamalkan pada masa itu dan sekiranya sesuai, beberapa ramai dan di mana hendak diturunkan calon Muslimat. Begitu juga dalam persoalan strategi seperti tahaluf siyaasi.

Apabila MSU memutuskan hukum bahawa ianya harus dengan dikenakan beberapa syarat, maka sekali lagi AJK PAS Pusat perlu mengambil kira waqi’ dan kebijaksanaan samada ianya perlu dilakukan atau sebaliknya. Dan sekiranya AJK PAS Pusat ingin melaksanakannya, AJK PAS Pusat perlu memutuskan dengan siapa ianya lebih menguntungkan perjuangan Islam berdasarkan pembacaan politik dan kepakarannya. Aspek pertama adalah berhubung hukum. Aspek kedua pula berhubung perlaksanaan. Kedua-dua aspek memerlukan kepakaran tersendiri untuk melaksanakannya.

KESIMPULAN

Kecelaruan yang timbul adalah hasil kekeliruan terhadap peranan dan bidang-kuasa setiap institusi. Lebih merumitkan lagi apa bila ada yang ingin sengaja menimbulkan kekeliruan berhubung peranan dan bidang kuasa mereka.

Kekeliruan turut menghasilkan keadaan di mana satu institusi mengambil alih peranan institusi yang satu lagi. Tidak wajar MSU mengambil-alih peranan AJK PAS Pusat atau AJK PAS Pusat mengambil alih peranan MSU. Begitu juga adalah tidak wajar MSU atau AJK PAS Pusat mengambil-alih peranan Muktamar dengan memutuskan dasar dan matlamat yang bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Muktamar. Fahaman bahawa MSU adalah kepimpinan ke atas keseluruhannya adalah tidak tepat.

Bukan itu yang dimaksudkan dengan konsep ‘Kepimpinan Ulama’. Konsep ‘Kepimpinan Ulama’ terlaksana dengan pembentukan Majlis Syura Ulama dan kuasanya untuk memantau perjalanan PAS untuk menentukan ianya tidak bercanggah dengan syariat. Ia tidak juga bererti keanggotaan AJK PAS Pusat serta kepimpinan di semua peringkat perlu diisi oleh lulusan agama sahaja. Ini adalah kerana peranan AJK PASPusat adalah berbeza dengan peranan MSU yang memerlukan kepakaran keagamaan.

PAS sebagai parti yang berpegang kepada perintah Allah wajib mengingati perintahNya;

 “Sesungguhnya Allah memerintah kamu untuk menyerahkan amanah itu kepada ahlinya..”

 Dan mafhum Hadis Rasulullah (SAW); “Sekiranya amanah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggu sahaja saaat kehancurannya”.

 ‘Keahlian’ adalah berdasarkan peranan yang perlu dimainkan. Yang fakeh bagi peranan menentukan hukum, yang pakar ketenteraan bagi jawatan ketua ketenteraan, yang pakar strategi, perancangan, bacaan politik dan perlaksanaan bagi kepimpinan badan perlaksana parti politik. Sekiranya dilantik yang bukan ahlinya maka sudah pasti PAS tidak akan dapat mencapai kejayaan sepertimana yang sepatutnya; di dunia mahupun di akhirat.

 WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Ulasan