MOSCOW - RUSIA. Seorang lelaki yang didakwa perisik Rusia dipenggal dalam sebuah video terbaru yang didedahkan kumpulan militan IS, Rabu lepas.
Menurut laporan CNN, IS juga mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
"Kamu tidak akan aman. Kami akan bunuh keluarga kamu. Kami akan musnahkan rumah kamu untuk setiap rumah yang kamu (Rusia) musnahkan di sini," kata militan tersebut.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti untuk membuktikan lelaki yang dipenggal tersebut merupakan seorang perisik, malah kerajaan Rusia juga tidak memberikan komen.
Menurut seorang anggota kanan Royal United Services Institute, ianya bukan kejadian pertama kali IS menangkap atau memenggal mangsa yang didakwa seorang perisik.
Januari lepas, seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa dilatih IS dirakam melepaskan tembakan ke kepala dua tahanan IS yang juga didakwa perisik.
Sebelum kejadian tersebut, seorang pemimpin Chechnya memberitahu agensi berita Interfax bahawa Rusia mempunyai agen di dalam kumpulan militan tersebut.
"(Mempunyai agen di dalam kumpulan IS) membolehkan kami mengesan individu-individu penting kepada kami," kata pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov awal tahun ini.
Sinar Harian Online
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..