Nur Uzma masih perlu RM10,000

 Nur Uzma masih perlu RM10,000

MELAKA - Sebanyak RM10,000 lagi diperlukan untuk membantu menampung kos rawatan seorang bayi perempuan yang dilahirkan tidak cukup bulan dan mengalami penyakit paru-paru, jantung berlubang serta saraf mata.

Menurut bapa bayi itu, Hairolnizam Haron, 28, setakat ini dia hanya menerima lebih kurang RM10,000 hasil sumbangan orang ramai.

Katanya, sebanyak RM10,000 lagi diperlukan bagi membantu menampung kos keseluruhan iaitu sebanyak RM20,000 bagi membolehkan bayi berkenaan, Nur Uzma Hanania, 4 bulan mendapatkan suntikan khas yang dinamakan Palivizumab.

Suntikan tersebut bagi mengelak bayi berkenaan yang ketika dilahirkan hanya seberat 0.65 kilogram, terkena komplikasi paru-paru dan ia perlu dilakukan sebanyak lima kali dengan kos RM4,000 setiap kali mengambil suntikan.

Menurut Hairolnizam, dengan pendapatannya yang hanya bekerja kampung, dia tidak mampu menanggung kos berkenaan berikutan pendapatannya tidak tetap serta kecil.
Justeru, dia merayu simpati orang ramai agar dapat membantu menampung kos itu bagi meringankan beban ditanggung anaknya yang masih kecil.


“Saya bersyukur, sebanyak RM10,000 diterima hasil sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap penderitaan dialami bayi kecil saya.

"Tapi saya merayu untuk dapatkan RM10,000 lagi bagi tampung kos keseluruhannya yang berjumlah RM20,000 untuk membolehkan anak saya menerima suntikan itu selain rawatan beberapa penyakit lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sinar Harian Sabtu lalu, melaporkan kerisauan, Hasrolnizam dan isterinya, Norhidayah Nasarudin, 27, akan bayi mereka yang mengalami penyakit paru-paru kronik.

Lebih menyedihkan, bayi dilahirkan pra matang itu, turut disahkan mempunyai masalah jantung berlubang dan penyakit saraf mata sehingga boleh menjejaskan penglihatannya sekira tidak dirawat dengan segera.

Orang ramai yang ingin membantu bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bapanya, 154026795992 (Hasrolnizam Haron).

Sinar Harian Online

Ulasan