Pendedahan seks di media: PIBG seluruh negara diseru bantah

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Pusat menyeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara, Persatuan Guru-guru, pertubuhan pendidikan NGO Islam dan pelbagai pertubuhan lain membantah pendedahan isu seks secara berleluasa di media.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kayat, berkata, ia berikutan pendedahan seperti isu liwat, video lucah, berita bersekedudukan, rumah urut, ‘ubat kuat’ dan sebagainya melalui media yang dilihat semakin tidak terkawal.

Ia katanya, memberi kesan negatif kepada remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Media arus perdana dilihat sangat gemar menayangkan sedutan VCD seks, gambar hubungan seks dan menceritakan isu-isu hubungan seks yang sangat memalukan,” ujar beliau.

Katanya, terbaru, sedutan rakaman video seks fitnah yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semalam, episod pendedahan yang memualkan diteruskan melalui siri video seks kedua. Keadaan ini umpama mendapat lesen dan lampu hijau dari pihak berkuasa, tidak ada sebarang amaran atau larangan yang ditegaskan berhubung penyebaran video ini.

“Lebih serius lagi video tersebut mendedahkan bahagian-bahagian badan pelakon yang sulit.

Tambah beliau, tidak mustahil babak yang lebih memualkan akan didedah dan disebarkan, sekiranya kerajaan tidak melakukan tindakan dan segera menyiasat serta menghukum penyebar video berkenaan.

“Sekiranya isu yang meloyakan ini, dibiarkan dan dianggap remeh, Dewan Pemuda PAS Pusat percaya ini akan menjadi satu lagi episod buruk kepada masalah moral dalam masyarakat kita yang sememangnya sedang kritikal pada masa ini.

“Lebih menakutkan ia mungkin akan menjadi suatu kebiasaan dan budaya di dalam negara kita.

“Anak-anak kita yang sekarang ini telah terdedah dengan dunia IT tanpa sempadan tidak mustahil akan terjebak dan melayari gambar-gambar dan video-video lucah selain fitnah-fitnah yang telah di sebarkan di dalam internet. Semua ini bertentangan dengan agama Islam dan budaya masyarakat timur,” tegas beliau.KeadilanDaily


Ulasan