Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak kini berada dalam dilema, sama ada untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 pada Jun 2011, lantas menutup ruang untuk persediaan pembangkang; ataupun menunggu sehingga tahun 2013? Keputusan Najib bergantung kepada pertimbangannya, sama ada untuk menawan semula hati pengundi Cina / Kristian, ataupun hanya menyasarkan undi Melayu?
Demikianlah ulasan Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya DAP, Liew Chin Tong terhadap senario politik selepas PRN Sarawak. Menurut Liew, Najib terpaksa memilih, antara pendekatan untuk mengembalikan sokongan Cina, atau menerima pandangan yang diketengahkan melalui Utusan Malaysia, iaitu usah lagi mempedulikan pengundi Cina, dan mendukung konsep "1Melayu 1Bumi" pada masa yang akan datang.
Namun demikian, Liew menambah, sementara pengundi Cina memperlihatkan kecenderungan yang jelas untuk menyebelahi Pakatan Rakyat, Najib dan UMNO tidak pasti sejauh manakah sokongan masyarakat Melayu terhadap UMNO-BN. Lebih-lebih lagi, apabila Sarawak yang disifatkan sebagai "deposit tetap" BN, kini menunjukkan kecenderungan untuk pembangkang.
Taib Mahmud dan PBB
Liew Chin Tong mengulas selanjutnya, keputusan PRN Sarawak meletakkan BN pada dilema ketika berdepan dengan Taib Mahmud. Seandainya Taib Mahmud masih enggan berundur dari jawatan Ketua Menterinya, maka isu ini akan dimainkan semula dalam PRU 13.
Namun demikian, ini bukan bermakna BN tidak menghadapi masalah seandainya Taib Mahmud berundur. Taib yang sudah sekian lama menguasai politik di Sarawak, mampu memenangkan kerusi untuk BN. Berbeza dengan Semenanjung, parti tempatan di Sarawak meletakkan pemimpin utama mereka di dalam DUN, sebaliknya mereka yang bertanding untuk kerusi parlimen adalah pemimpin garisan kedua, atau ketiga dalam parti.
Justeru itu, penguasaan terhadap akar umbi masyarakat tempatan oleh pemimpin pinggiran tidak sekuat pemimpin utama. Keadaan ini akan menjadi sukar untuk BN kerana "sistem lama" Taib itu telah dicabut, menyusuli langkah Taib. Apatah lagi apabila Sarawak perlu berdepan dengan "perompakan terakhir oleh kroni Taib" sebelum orang kuat ini berundur dari pentas politik.
Liew Chin Tong menambah, di Semenanjung Malaysia pula, Najib belum menyelesaikan masalah jurang kaya-miskin yang melebar dalam masyarakat Melayu sendiri. Malah, masalah inflasi lantaran kenaikan harga minyak, harga barang bakal menambah rintihan masyarakat Melayu, yang belum pastinya memberi sokongan kepada UMNO-BN.
Liew (gambar kiri) memberi angkanya, iaitu PRU ke-12 memperlihatkan 51% pengundi Semenanjung menyokong DAP, PAS dan PKR, walaupun PR memperolehi 80 kerusi berbanding BN dengan 85 kerusi. BN terselamat kerana kerusi dari Malaysia Timur. Namun, berdasarkan keputusan PRN Sarawak pada 16 April 2011, Liew Chin Tong berkata ia bakal diterjemahkan kepada kekalahan BN sebanyak 10 kerusi parlimen di Sarawak. Malah seandainya pola pengundian Cina sedemikian berlaku di seluruh negara, maka BN mungkin kehilangan 20 hingga 30 kerusi dari negeri lain, misalnya Johor, Sabah dan sebagainya.
Demikianlah analisa Liew Chin Tong dalam satu forum anjuran Oriental Daily, berjudul "Angin perubahan dalam komuniti Cina: Adakah Sarawak masih ATM?" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Eksekutif Ketua Pengarang Oriental Daily, Ding Lee Leong dan pengkaji politik, Wong Chin Huat juga hadir sebagai panelis untuk berkongsi pandangan mereka dengan kira-kira 200 orang hadirin.
Strategi kemenangan DAP
Selain itu, Liew Chin Tong juga berkongsi strategi kemenangan DAP. Berbeza dengan SUPP yang mempertanggungjawabkan syarikat pengiklanan untuk bahan iklannya, iklan DAP direka oleh pekerja partinya yang muda. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana DAP boleh respon secara langsung dan berkesan terhadap serangan musuh politik, malah dengan cara yang kreatif dan menarik.
Liew Chin Tong mengisahkan bagaimana tema kempen mereka direka, bermula dari perbandingan Ketua Menteri antara Lim Guan Eng dengan Taib Mahmud, dan kemudian berubah kepada "memeluk harapan" pada dua hari terakhir sebelum hari pengundian. Suasananya amat terharu apabila hadirin tampil membawa anak-anak mereka ke ceramah, malah berebut-rebut untuk membeli mascot "ubah" DAP.
Ding Lee Leong (gambar kanan) pula berkata, SUPP sebenarnya dikalahkan oleh dirinya. Parti ini dibelenggu dengan pelbagai masalah, sudah diberi tamparan ketika PRN Sarawak 2006. Misalnya, pengganti Presiden SUPP yang dicadangkan George Chan, kesemuanya sudah tua-tua belaka - mustahil menggarap imaginasi pemuda. Bagaimanapun, beliau berkata kekalahan teruk SUPP kali ini bukan disebabkan pengundi muda (kerana pengundi muda tidak menyokong SUPP sebermulanya), sebaliknya pengundi tua yang berpaling tadah.
Ding Lee Leong menambah, pandangan bahawa "pembangkang akan kalah bila berdepan dengan politik wang" hilang mujarab kali ini, jikalau diambil contoh kemenangan Baru Bian yang berjaya menangkis serangan wang. Namun, kemenangan ini memerlukan syarat, iaitu perkhidmatan di komuniti orang asal yang berjangka panjang.
Wong Chin Huat (gambar kiri) pula menekankan kepentingan "kabinat bayangan", mendesak agar barisan pembangkang menggarap imaginasi rakyat dengan menampilkan pasukannya kepada rakyat. Beliau berkata pembangkang tidak boleh hanya "berperang", sekadar "menawan", tetapi tidak menunjukkan tekad mereka dalam "urus-tadbir" negara.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..