KOTA BHARU, 7 April: Biar pun media pro Barisan Nasional (BN) cuba menggambarkan jumlah penyokong Pakatan Rakyat agak kurang pada hari penamaan calon semalam, namun kejutan pula berlaku pada sebelah malamnya.
Program ceramah yang disebut hambar sebelum ini tiba-tiba bertukar rentak apabila kehadiran penduduk tempatan di luar jangka.
Ia secara tidak langsung menggambarkan rakyat Sarawak mempunyai disiplin tinggi hanya turun padang selepas wisel kempen pilihan raya ditiupkan semalam.
Banyak laporan menunjukkan program kempen calon Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP disambut hangat penduduk tempatan.
Restoran Cina yang menjadi tempat ceramah DAP dan PKR di pinggir bandar Kuching melimpah ke ruang luar.
Ramai penganalisis politik menjangka aktiviti kempen akan bertambah rancak minggu depan apabila Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut turun padang.
Masyarakat Melayu Melanau yang menjadi teras kepada kekuatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diketuai Tan Sri Taib Mahmud dibayangkan bakal beralih angin.
Kehadiran Menteri Besar Kelantan itu pada Ahad ini ditunggu mereka bukan sekadar sebagai seorang negarawan, sebaliknya tokoh agama yang disegani.
Setiausaha Sulit Menteri Besar, Ahmad Shargowi Derahman berkata, rombongan Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut disertai isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Selain itu Setiausaha Sulit Khas, Rosdi Abdullah dan pegawai Perhubungan PAS Kelantan, Wan Zulkifli Wan Muhamad.
”Pada malam pertama Menteri Besar akan mengadakan ceramah bersama pemimpin tertinggi DAP di bandar Kuching,” katanya di sini.
Manakala pada sebelah pagi 11 April Mursyidul Am akan berkempen di Dun Muara Muang yang ditandingi calon PAS, Norani Hamzah.
Pada penamaan calon semalam Noraini hampir menang tanpa bertanding apabila calon BN, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud lewat mengemukakan penyata kewangan pilihan raya lalu.
Pengumuman parti yang layak bertanding paling lewat berlaku di situ.
Pegawai pengurus pilihan raya, Mohd Ainnie Wahab mengambil masa lebih dua jam untuk membuktikan Mohamad Ali telah menyerah penyata kewangan.
Ketika tempoh bantahan yang diadakan di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Kota Samarahan peguam PAS membantah calon BN dari PBB tidakmengemukakan penyata kewangan.
Wan Zulkifli pula berkata, pada tengahari 11 April Menteri Besar Kelantan dijangka menemui beberapa pemimpin tempatan yang disegani rakyat Sarawak.
”Pada sebelah petang diadakan ramah mesra dengan keluarga Persatuan Anak Kelantan di perantauan dan malamnya ceramah di Dun Sadong Jaya,” katanya.
Dun terbabit juga ditandingi calon PAS, Abang Eddy Allyanny Abang Fauzi. PAS mempunyai peluang cerah di situ memandangkan BN hanya menang tipis pada pilihan raya negeri lalu iaitu majoriti 858 undi.
Selain itu PAS juga berpotensi besar di Dun Beting Maro apabila menampilkan peguam muda, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.
BN juga menang tipis pilihan raya lalu iaitu majoriti sebanyak 895 undi. PAS juga bertanding di Dun Tanjung Datu dengan mengetengahkan calon wanita, Nani Sahari menentang Tan Sri Adenan Satim penyang dari BN PBB.
Manakala Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid pula bertanding di Dun Sebuyau.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz dijangka bertolak pulang pada 12 April.HarakahDaily
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..