Mengapa takut kebangkitan rakyat?

Oleh : NIK NAZMI NIK AHMAD
Tarikh : December 14, 2011
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno 2011, Datuk Mukhriz Mahathir mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat mahu menjatuhkan Kerajaan Pusat dengan cara tidak demokratik. Kenyataan ini membuktikan betapa terpisahnya Umno-BN dengan realiti sebenar.

Mukhriz memetik wawancara Anwar dengan agensi berita antarabangsa Bloomberg baru-baru ini, di mana Anwar meramalkan suatu kebangkitan rakyat akan muncul membawa perubahan politik di Malaysia.

Mukhriz mungkin tidak baca sepenuhnya kenyataan Anwar memberitahu Bloomberg, “Bilakah kebangkitan rakyat Malaysia? Pada pilihan raya akan datang.”

Meskipun sudah sekian lama parti-parti pembangkang di Malaysia berhadapan dengan padang yang tidak sama rata, kebanyakan parti-parti tersebut – termasuk Pakatan Rakyat – turut serta dalam setiap pilihan raya.

Di negara lain, parti-parti pembangkang yang kecewa kemungkinan memilih taktik tidak demokratik apabila mereka berhadapan pilihan raya tidak adil, tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Sebab itulah Pakatan dan masyarakat madani di Malaysia bersungguh-sungguh mahukan reformasi pilihan raya yang diperjuangkan Bersih. Pilihan raya adalah cara terbaik membawa perubahan dalam masyarakat.

Kami percaya pilihan raya yang bebas dan adil adalah penting bagi keabsahan kerajaan mana-mana negara. Malangnya, Umno-BN setakat ini menolak kebanyakan langkah-langkah bermakna yang diperjuangkan oleh Bersih.
Kemuncaknya ketika Bersih 2.0 - rakyat daripada pelbagai latar belakang menyaksikan respons keras dan tidak konsisten pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanakah permintaan untuk pilihan raya bersih dan adil boleh menimbulkan kontroversi kecuali kita menolak demokrasi, sebuah prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita?

Jawatankuasa Bersih 2.0 turut sanggup berkompromi dengan memindahkan perhimpunan aman ke stadium sebagaimana ditawarkan PM sebelumnya yang kemudian turut dinasihati oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ketika mereka menghadap baginda.

Malangnya Kerajaan Pusat tidak mematuhi janji dan memaksa puluhan ribu rakyat turun ke jalan raya. Melihat kepada kemarahan rakyat akibat tindakan kerajaan berhadapan dengan Bersih 2.0, PM bersetuju membentuk Jawatankuasa Khas Parlimen untuk Reformasi Pilihan Raya – suatu pengiktirafan bahawa Bersih, Pakatan Rakyat dan masyarakat madani selama ini terbukti benar: wujud masalah mendalam dengan sistem pilihan raya kita.
Tujuan penubuhan jawatankuasa ini ialah untuk memastikan kredibiliti pilihan raya akan datang. Pun begitu, dua hari kemudian kerajaan sekali lagi tukar fikiran, menegaskan Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan Jawatankuasa Khas Parlimen.

Dalam kes hampir serupa, pada Hari Malaysia 2011, PM umum rancangan untuk membatalkan undang-undang darurat negara, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Polis.

Menariknya, Kabinet Najib sendiri tidak dimaklumkan tentang pengumuman itu, dan memberi gambaran bahawa jika ya pun, PM seorang sahaja yang percaya tentang keperluan reformasi. Sayang sekali golongan sinis terbukti benar dengan perkembangan terbaru. Baru-baru ini 13 didakwa militan ditangkap di Tawau di bawah ISA beberapa bulan sebelum akta tersebut dimansuhkan.

Akta Perhimpunan Aman yang digelar Umno-BN sebagai perubahan besar terbukti mengenakan lebih banyak sekatan daripada Akta Polis sedia, malah Burma kini ada undang-undang kebebasan berhimpun yang lebih baik berbanding negara kita.

Ini bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan budaya ketimuran kita – demokrasi di India telah bertahan sekian lama, sementara dominasi satu parti telah pun berakhir di Taiwan, Korea dan Jepun. Turki dan Indonesia telah membuktikan bahawa Islam dan demokrasi boleh berkembang seiring dan kebangkitan dunia Arab telah memperluaskan lagi perkembangan ini.

Hanya mereka yang menentang perubahan politik yang tidak seiring dengan rakyat Malaysia./SinarHarian

Ulasan