ALOR SETAR, 15 Jan: Lebih 50,000 rakyat di seluruh Kedah hadir pada Rapat Rakyat Perdana yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, malam tadi.
Kehadiran orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat itu menjadikan padang bola Stadium Sultan Abdul Halim penuh sesak sehingga melimpahi ke luar stadium.
Keadaan itu menjadikan suasana di padang stadium itu dipenuhi pandangan kopiah yang memutih yang cukup memukau pandangan jika dilihat dari atas tempat duduk di stadium itu.
"Macam duduk di Padang Arafah," begitulah reaksi yang dituturkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hendak memulaklan ucapannya.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan antara lain mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi perintah Allah sepanjang hidup di dunia ini.
Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap antara lain meminta orang ramai mengekalkan sokongan kepada PAS bagi membolehkan Kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah di negeri itu pada PRU Ke-13 akan datang.
Program yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar itu turut menampilkan beberapa penceramah lain dari PAS dan Pakatan Rakyat, dengan dimulai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan termasuk Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali.
Manakala dari DAP, Pengerusi dan Timbalan pengerusi parti itu, Karpal Singh dan Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong.
Ceramah pada malam tadi adalah kemuncak kepada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 yang diadakan di stadium tersebut bermula jam 8.00 pagi tadi./HarakahDaily
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..