Oleh kerana ada yang beranggapan bahawa saya enggan membantu Kelantan dalam isu pelaksanaan hudud selain mendakwa saya berdolak-dalik, saya berasa perlu untuk menjelaskan beberapa perkara yang mungkin kelihatan remeh.
Saya ke Kelantan dua minggu lalu untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa teknikal pelaksanaan hudud yang dipengerusikan oleh timbalan menteri besar.
Bagaimanapun oleh kerana tidak ada siapa yang menunggu saya di lapangan terbang saya membuat keputusan untuk balik semula ke Kuala Lumpur selepas dua jam. Saya menganggap ia sangat ganjil kerana sejak 1996 lagi sentiasa ada pegawai yang menunggu ketibaan saya.
Dalam beberapa kesempatan saya malah dijemput oleh pimpinan atasan seperti bekas Speaker Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Fatah Haron, bekas ahli parlimen Rantau Panjang. Mungkin saya perlu sebutkan bahawa saya ke Kelantan dengan perbelanjaan sendiri.
Apa yang berlaku itu tidak berbeza dengan apa yang berlaku di Shah Alam dua tahun lalu: majlis forum tentang hudud yang dianjurkan oleh Kerajaan Kelantan yang saya diminta menjadi panelisnya tidak jadi dan dewan lengang tanpa ada sesiapa di situ.
Tahun lalu nama saya dijaja oleh kerajaan negeri kononnya diminta menjalankan kajian tentang hudud sedangkan saya tidak dimaklumkan mengenainya. Dalam pada itu seorang anggota exco Kelantan beberapa kali menefelon saya hendak berjumpa untuk memohon penjelasan mengenai halangan pelaksanaan hudud. Tetapi sehingga hari ini beliau tidak pernah datang berjumpa.
Apa yang terjadi di Lapangan Terbang Kota Bharu itu sebenarnya pernah saya alami sebelum ini pada 2008 apabila saya dijemput untuk memberi pandangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat mengenai isu 16 September.
Ia berkisar kepada gerak politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa sebilangan ahli parlimen Barisan Nasional hendak menyertai Pakatan Rakyat.
Saya diminta menjelaskan apakah penyeberangan itu boleh berlaku dalam skima perlembagaan kita. Bagaimanapun saya tidak dijemput masuk ke dalam mesyuarat apabila saya tiba di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.
Apa yang menarik dalam kedua-dua episod ini ialah kedua-duanya mempunyai kesan kepada kedudukan Umno. Manakala saya membawa pandangan yang tidak menguntungkan Umno pendekatan yang diambil oleh PAS memberi kesan positif kepada Umno.
Kita semua maklum pada 2008, PAS mengetengahkan gagasan kerajaan perpaduan yang akhirnya menenggelamkan gerak politik Anwar yang dirancang melalui Gagasan 16 September itu .
Pada 2014 PAS, khususnya negeri Kelantan, mengambil pendekatan melaksanakan hudud yang memerlukan penglibatan Umno yang jelas akan menggegarkan Pakatan Rakyat.
Hudud dan kerangka Perlembagaan M'sia
Minggu lalu ahli parlimen Sepang dan peguam Mohamed Hanipa Maidin menyebut teori perlembagaan saya dan kesannya kepada kes Lina Joy di mahkamah. Kes mengenai isu murtad ini menggegarkan negara pada 2005. Sebenarnya pendekatan yang sama jugalah yang saya pakai dalam menghujah keharusan pelaksanaan hudud melalui kerangka perlembagaan kita.
Sebelum itu rata-rata orang beranggapan bahawa perlembagaan kita menghalang hudud; sesuatu yang asasnya ditanam oleh guru saya Profesor Ahmad Ibrahim.
Sebenarnya sikap DAP yang menentang hudud di atas hujah perlembagaan tidak jauh berbeza dengan apa yang dihujah oleh guru saya itu. Ahmad Ibrahim juga membayangkan bahawa murtad dibenarkan oleh perlembagaan; sesuatu yang saya tidak setuju.
Apa pun ketika ini pandangan yang melihat hudud boleh dilaksanakan melalui skima perlembagaan sudah diterima. Secara ringkas ia boleh disimpulkan begini:
(a) Perlembagaan tidak secara tegas menghalang atau menolak pelaksanaan undang-undang Islam. Bahkan sistem kita sudah menerimanya sejak lama dulu, dari undang-undang keluarga Islam kepada perbankan Islam,
(b) Ketertinggian perlembagaan yang sering dikemukakan sebagai halangan pada hakikatnya hanyalah penekanan bahawa apa juga yang hendak dilaksanakan di Malaysia – termasuk hudud – perlu dibuat di dalam kerangka perlembagaan.
Laksana hudud – kuasa persekutuan atau negeri?
Pada awalnya saya berpendapat bahawa bidang kuasa melaksanakan hudud terletak di tangan kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun setelah saya bertemu dengan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2011 saya berasa bahawa hudud boleh dilaksanakan melalui kerangka jenayah syariah yang sedia ada di dalam perlembagaan.
Jenayah syariah terletak di bawah kuasa negeri. PAS sendiri sebelum itu telah membuat penegasan bahawa hudud hanya akan dilaksanakan di kalangan umat Islam sahaja. Apa yang perlu dilakukan ialah meminda beberapa undang-undang termasuk yang menyekat bidang kuasa mahkamah syariah.
Isu bidang kuasa inilah yang menyebabkan kerajaan negeri Kelantan berasa saya berdolak dalik:
Dulu kata hudud kuasa persekutuan sekarang kata kuasa negeri. Sebenarnya jika kerajaan negeri mengikuti betul-betul apa yang saya katakan khususnya selepas saya berbincang dengan Nik Aziz pada 2011 itu mereka akan faham.
Saya berasa yang kerajaan negeri sekarang tertekan kerana ia didesak untuk melaksanakan enakmen 1993 itu dengan segera. Dan sebab itu jugalah PAS, melalui organ rasmi Harakah, mengkritik saya.
Pendeknya mereka kepanasan dan mencari jalan untuk melepaskan diri. Dalam keadaan terkapai-kapai itulah kerajaan negeri menemui kerajaan persekutuan. Anehnya sehingga kini Umno masih belum mengubah pendirian mereka mengenai hudud.
Sokongan yang dizahirkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Annuar Musa bukan pendirian rasmi parti. Kita mungkin boleh berpegang dengan apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Jamil Khir sebagai anggota kabinet.
Bagaimanapun kenyataan terbaru Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menampakkan komitmen tegas melaksanakan hudud dan ini menyebabkan sokongan Jamil Khir itu tidak bermakna apa-apa.
Belum duduk sudah terlunjur
Kekeliruan yang timbul mengenai pelaksanaan hudud ini berpunca dari kecelaruan PAS sendiri. Sepatutnya sebelum Kelantan menyiap dan meluluskan enakmen 1993 itu mereka perlu terlebih dahulu menyediakan plan yang jelas bagaimana hudud ini hendak dilaksanakan di dalam kerangka perlembagaan kita.
Selain itu PAS juga perlu memikirkan kekuatan mereka, khususnya bilangan kerusi yang mereka ada di parlimen. Ini perlu kerana kalau kita mengambil pendekatan kuasa negeri pun ada beberapa langkah yang perlu dibuat di peringkat persekutuan.
PAS hanya memikirkan soal bidang kuasa ini secara serius dalam beberapa bulan kebelakangan ini setelah tampuk kerajaan negeri Kelantan berubah dan desakan untuk menyegerakan pelaksanaan hudud disuarakan.
Saya telah menegaskan banyak kali tentang perlunya sebuah dasar dan plan yang jelas mengenai langkah dan pendekatan yang perlu diambil dalam soal pelaksanaan hudud ini. Bagaimanapun kerajaan negeri memandang sepi dan menyatakan apa yang saya katakan hanyalah pandangan peribadi.
Dalam keadaan itulah tiba-tiba kita mendengar kerajaan negeri merapati pentadbiran Najib untuk mendapat laluan. Setakat artikel ini ditulis, seperti yang telah dinyatakan tadi sehingga ini Umno belum menyatakan pendirian tegas meskipun saya difahamkan segala gerak dan catur mereka diatur oleh JAKIM.
Apa pun yang mereka buat, sebagaimana yang kita lihat dalam tindak tanduk mereka selama ini, kesemuanya tidak bebas dari orbit dan radar politik Umno.
Undang-undang dan dasar parti
Pembuatan undang-undang, yang bermula dengan pembentangan rang undang-undang atau bill, menayangkan dasar dan keutamaan parti. Pas mengambil pendekatan yang ganjil: ia berada di dalam Pakatan Rakyat tetapi membuat gerak yang memerlukan sokongan Umno yang berada di dalam Barisan Nasional.
Ini yang menyebabkan prosedur dan jalan yang diambil berbelit-belit. Saya berasa aneh mengapa Perkara 76A dibangkitkan sedangkan di dalam perlembagaan ada peruntukan yang lebih jelas dan tegas mengenai hudud ini, contohnya “hukum syarak” yang disebut di bawah senarai negeri.
Penentangan oleh golongan bukan Islam timbul kerana hudud dihujah melalui kuasa persekutuan. Dan Umno tidak berbuat apa-apa. Setakat artikel ini ditulis, bahkan kita sendiri pun masih belum jelas pendirian dan komitmen Umno mengenai hudud ini.
Saya berpendapat meskipun hudud bukan dasar Pakatan Rakyat ia masih boleh dilaksanakan kerana di sana ada beberapa prasarana tertentu yang boleh digunakan. Ini termasuk komitmen menjunjung perlembagaan dan ruang untuk pelaksanaan ideal federalism yang sepenuhnya di negara ini. Tetapi ia memerlukan kesabaran dan kerja keras di pihak PAS.
Apa yang kita lihat PAS semakin lemah; ia hanya memiliki 21 kerusi parlimen di samping kehilangan Kedah. Dalam pada itu di Kelantan pun undi popular yang PAS dapat tidak melebihi 50 peratus; sesuatu yang menimbulkan tanda tanya tentang keabsahan tindakan PAS di sisi demokrasi.
Yang jelas, sebagaimana 2008, di dalam senario sekarang Umno yang mendapat laba politik.
DR ABDUL AZIZ BARI mantan profesor undang-undang di UIAM yang kini mengajar di Unisel.
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..