Menurut bekas menteri besar Kelantan itu, beliau yakin kekuatan politik Islam yang berpegang teguh dengan akidah akan berjaya mengubah persepsi dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.
“Tak apa..dia (hal itu) sikit lagi. Ambo (saya) akan sebut (perjelaskan) dan kita akan terbuka sedikit demi sedikit. Itulah kelebihan politik Islam, (politik Islam) syaratnya mesti kukuh, akidah pegang molek, biarlah apa orang nak buat, lama-lama mereka (DAP dan PKR) faham,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.
Mursyidul Am PAS itu mengulas mengenai penentangan DAP dan PKR terhadap hasrat PAS Kelantan membentangkan rang undang-undang persendirian (private bill) di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.
Menurut Nik Aziz, keutamaan kini ialah mendoakan agar pembentangan di Parlimen berjaya kerana perkara itu sudah lama ditunggu dan diharapkan oleh kepimpinan PAS Kelantan.
“Tak berlaku lagi (hudud), tapi doakan mudah-mudahan pembentangan itu berjaya. Ini satu kemajuan yang sudah lama kita tunggu, bukan senang untuk Kelantan dan negeri-negeri bawa perkara seperti ini ke Parlimen,” katanya sambil menegaskan wajib bagi wakil rakyat Islam menyokong rang undang-undang ini.
Menurutnya, kesediaan Putrajaya memberikan laluan bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan menunjukkan perkembangan positif apabila ramai mula memahami kepentingan undang-undang Islam itu.
“Alhamdulillah mereka (kerajaan pusat) terbuka hati. Agama dan negara kita Islam, kedatangan hudud sebelum wujudnya PAS, iaitu sejak hampir 2,000 tahun lalu, sedangkan PAS bertapak pada 1951. Hudud bukan undang-undang PAS sebaliknya undang-undang Islam,” katanya.
Semalam DAP menegaskan tetap dengan pendirian untuk tidak bersetuju pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan kerana ia bukan sebahagian daripada persetujuan bersama PR.
Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) berkata, pendirian parti itu tetap tidak akan berubah dan sebagai salah satu parti komponen PR, mereka berhak memberikan pandangan.
"Sememangnya DAP tidak bersetuju hukum hudud dilaksanakan kerana ia bertentangan dengan budaya dan bukan sebahagian daripada kerangka dasar yang dipersetujui bersama PAS dan PKR," kata Lim pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur.
Ditanya adakah pemimpin PAS pernah berbincang dengan DAP mengenai isu tersebut, Lim berkata sekali lagi, parti itu hanya akan mengikuti dasar konsesi polisi bersama PR.
“Pendirian kita sangat jelas dan mudah dan parti PR juga faham akan itu. Bagaimanapun, agak menyedihkan ada yang tidak faham dan sengaja memperbesarkan perkara mengenai pelaksanaan hukum hudud.” – 12 April, 2014.
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..