PENGENDALI pasukan berstatus kelab, T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah menuntut anak buahnya memberi tumpuan 100 peratus sepanjang perlawanan ketika turun bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam nanti.
Beliau mengharapkan skuad bimbingannya itu dapat melupakan insiden ‘Terowong Larkin’ daripada menyekat usaha mereka memperkukuhkan kedudukan dalam carta liga.
Menurutnya, kunjungan pasukannya ke Johor Bahru kali ini dengan semangat membara untuk memberi tentangan sengit kepada skuad Harimau Selatan yang kini menghuni tangga ketiga liga di bawah bimbingan bekas pengendali pasukan Kelantan, Bojan Hodak.
“Walaupun insiden ‘Terowong Larkin’ masih belum berakhir, tetapi saya tidak mahu pemain terus memikirkan hal itu, sebaliknya terus mempamerkan aksi terbaik mereka kepada perlawanan esok (malam nanti).
“Misi utama kita ke Johor Bahru untuk membawa pulang sekurangnya satu mata dan pemain perlu bekerja keras bagi memastikan harapan itu tercapai,” katanya.
Dalam pada itu, Azraai bertekad akan menampilkan kesebelasan terbaik bagi mengimbangi kekuatan skuad berstatus bintang itu.
Katanya, biarpun pasukan turun tanpa kelibat penyerang kelahiran Indonesia, Patrich Wanggai yang digantung setelah dilayangkan kad merah pada perlawanan sebelum ini, ia tidak menghalang skuad The Titans memberi tentangan sengit.
“Saya percaya kehadiran penyerang baharu, Jimmy Mulisa akan memberikan impak kepada pasukan dalam perlawanan itu, khususnya dalam menajamkan lagi bahagian serangan.
“Saya akui prestasinya masih belum mencapai tahap diinginkan dan masih tercari-cari rentak permainan bersama rakan sepasukan, tetapi pemain ini perlu diberi sedikit masa serta ruang untuk menunjukkan permainan sebenarnya,” katanya.
Untuk rekod, pada 1 Februari lalu, perlawanan membabitkan JDT dan T-Team dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ditangguhkan ketika JDT mendahului T-Team 2-1. Ia berikutan T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan babak kedua sebagai langkah keselamatan.
Sinar Harian.
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..