Laksana hudud bercanggah Perlembagaan, kata kumpulan peguam [ PAS gagal dalam Dakwah ]

Pelaksanaan hudud di negara ini bercanggah dengan prinsip Perlembagaan kerana undang-undang itu berlandaskan Al-Quran dan hanya sesuai dilaksanakan di negara teokrasi, kata kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen (gambar) dalam kenyataan di Kuala Lumpur berkata, bagi melaksanakan hudud, Perlembagaan dan struktur institusi perundangan seharusnya dirombak.

"Perkara itu bagaimanapun mustahil. Cubaan meminda Perlembagaan untuk pelaksanaan hudud bercanggah Perlembagaan serta merosakkan kerangka Perlembagaan itu sendiri," katanya.

Hudud yang cuba dibawa kerajaan Kelantan untuk dibentangkan di Parlimen katanya merupakan tindakan politik memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa perundangan meluluskan akta berkenaan di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan memandangkan undang-undang jenayah dan sivil tertakluk kepada kerajaan pusat.

"Ia turut bercanggah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang membolehkan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda sehingga RM5,0000 atau sehingga enam kali sebatan," katanya.

Pelaksanaan hudud juga katanya melanggar Artikel 8 Perlembagaan yang menjamin kesamarataan tanpa diskriminasi sedangkan hudud hanya terpakai kepada orang Islam, dan bukan Islam masih mengguna pakai akta sivil sedia ada.

"Hudud bukan penawar 'magic' menyembuhkan masalah dalam masyarakat.

"Kita ambil contoh beberapa negara seperti Afghanistan, Pakistan, Somalia, Sudan, dan Utara Nigeria yang melaksanakan hudud, tiada apa yang dapat diselesaikan," katanya, dan menambah, pakar akademik Islam sendiri mempersoalkan kesesuaian pelaksanaan hudud di zaman moden ini.

"Bukan sahaja tidak realistik, ia akan menjadikan kesan sebaliknya keadilan Islam."

LFL turut meminta pertimbangan PAS untuk menarik balik pembentangan Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) di Parlimen.

Hukuman-hukuman terkandung dalam hudud katanya kejam dan pelik, serta bercanggah dengan hak untuk hidup dan larangan penyeksaan.

Tindakan membawa pembentangan hudud ke Parlimen juga katanya tidak bertanggungjawab dan mencemarkan imej Islam PAS. – 23 April, 2014.

TheMalaysiaInsider

Ulasan